Perkataan ‘menyinggung’, ‘menjengkelkan’ Seksyen 233 AKM berperlembagaan

Perkataan ‘menyinggung’, ‘menjengkelkan’ Seksyen 233 AKM berperlembagaan

Mahkamah Persekutuan berkata kebebasan bersuara masih tertakluk kepada sekatan dan peruntukan itu bertujuan mengawal penggunaan tidak wajar.

ISTANA KEHAKIMAN - COURT OF APPEAL
Panel lima hakim Mahkamah Persekutuan dengar rayuan kerajaan hari ini yang dipengerusikan Ketua Hakim Negara Wan Ahmad Farid Wan Salleh.
PETALING JAYA:
Mahkamah Persekutuan mengenepikan keputusan Mahkamah Rayuan tahun lalu yang mengisytiharkan perkataan ‘menyinggung’ dan ‘menjengkelkan’ dalam versi terdahulu Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 (AKM) sebagai tidak berperlembagaan.

Mahkamah tertinggi itu secara sebulat suara memutuskan bahawa perkataan di bawah Seksyen 233 AKM, yang menjadikan suatu kesalahan membuat komen menyinggung perasaan dalam talian, adalah berperlembagaan.

Hakim Nallini Pathmanathan berkata kebebasan bersuara masih tertakluk kepada sekatan dan peruntukan itu bertujuan mengawal penggunaan tidak wajar kemudahan serta perkhidmatan rangkaian, dengan tujuan menyediakan persekitaran dalam talian yang selamat.

“Kami mengenepikan bahagian penghakiman Mahkamah Rayuan yang membatalkan perkataan ‘menyinggung’ dan ‘menjengkelkan’ daripada Seksyen 233(1)(a) AKM kerana tidak selaras dengan Perkara 10(1)(a) Perlembagaan Persekutuan,” katanya ketika membenarkan sebahagian daripada rayuan kerajaan.

Ketua Hakim Negara Wan Ahmad Farid Wan Salleh serta Hakim Che Ruzima Ghazali, Nazlan Ghazali dan Collin Lawrence Sequerah turut menganggotai panel yang mendengar rayuan itu.

Bagaimanapun, mahkamah mengekalkan keputusan Mahkamah Rayuan bahawa tiada asas untuk mendakwa aktivis Heidy Quah atas alasan bahawa satu hantaran Facebook yang dibuatnya adalah ‘menyinggung’ dan disampaikan ‘dengan niat untuk menyinggung’.

Pada Julai 2021, Quah yang juga pengasas Refuge for Refugees, didakwa di bawah Seksyen 233 AKM sebelum pindaan, kerana memuat naik komen menyinggung di Facebook selepas menimbulkan isu dakwaan layanan buruk terhadap pelarian di pusat tahanan imigresen.

Seksyen 233 akta itu sebelum ini menjadikan suatu kesalahan bagi mana-mana orang untuk membuat, mencipta, memohon atau memulakan penghantaran dalam talian apa-apa komen yang ‘lucah, tidak senonoh, palsu, mengancam atau menyinggung’ dengan niat untuk ‘mengganggu, menyalahgunakan, mengugut atau mengganggu orang lain’.

Pada April 2022, Mahkamah Tinggi membenarkan beliau dilepas tanpa dibebaskan (DNAA).

Quah kemudiannya memohon satu perisytiharan bahawa perkataan ‘menyinggung’ dan ‘menjengkelkan’ dalam peruntukan itu adalah tidak sah dan bercanggah dengan dua hak asasi yang dilindungi oleh perlembagaan.

Mahkamah Rayuan memutuskan memihak kepadanya dan membatalkan Seksyen 233 akta itu, sekali gus membawa kepada rayuan semasa ini.

Pada 27 Ogos tahun lalu, Mahkamah Rayuan secara sebulat suara membatalkan peruntukan tersebut, dengan memutuskan bahawa ia melanggar Perkara 8 dan 10(2)(a) Perlembagaan.

Perkara 8 memperuntukkan kesamarataan di sisi undang-undang, manakala Perkara 10(2)(a) membenarkan sekatan tertentu ke atas kebebasan bersuara.

Mahkamah Rayuan memutuskan bahawa perbuatan menyinggung dan menjengkelkan pihak ketiga tidak boleh ditafsirkan sebagai mengganggu ketenteraman awam.

Rayuan kerajaan tertumpu kepada tiga persoalan undang-undang, termasuk sama ada keputusan Mahkamah Rayuan itu selaras dengan Perkara 4(2) Perlembagaan Persekutuan.

Perkara 4(2)(b) melarang sebarang cabaran terhadap sekatan kebebasan bersuara yang dibuat demi kepentingan ketenteraman awam dan moral awam menurut Perkara 10(2).

Pada 2024, kerajaan meluluskan pindaan kepada Seksyen 233 akta itu dengan menaikkan ambang kesalahan daripada ‘menjengkelkan’ kepada ‘jelik melampau’.

Hak kebebasan bersuara bukan mutlak

Dalam ringkasan penghakiman, Nallini berkata hak kebebasan bersuara dan berpendapat bukanlah mutlak serta tidak merangkumi komunikasi yang bersifat memudaratkan, khususnya dalam masyarakat majmuk Malaysia.

“Apa yang tidak termasuk dalam skop kebebasan bersuara dan berpendapat ialah komunikasi yang dibuat dengan niat untuk menyebabkan kemudaratan atau kecederaan kepada individu atau kumpulan lain,” katanya.

Hakim itu berkata perkataan ‘menyinggung’ dan ‘menjengkelkan’ dalam akta itu perlu difahami dalam konteks peningkatan pelbagai bentuk gangguan dalam talian, gurauan berniat jahat, penipuan, serta kandungan yang bersifat perkauman atau menyerang sensitiviti agama serta menghina.

“Dengan kata lain, Seksyen 233(1)(a) AKM menyasarkan komunikasi yang terkeluar daripada skop kebebasan bersuara dan berpendapat.

“Oleh itu, ia tidak mempunyai kesan melanggar hak yang dijamin di bawah Perkara 10(1)(a),” tambahnya.

Peguam Kanan Persekutuan Shamsul Bolhasaan berhujah bahawa Perkara 4(2)(b) melarang cabaran terhadap sekatan kebebasan bersuara yang dibuat demi kepentingan ketenteraman awam dan moral awam.

Shamsul dibantu Peguam Kanan Persekutuan Liew Horn Bin, manakala peguam Benjamin Dawson mewakili Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia.

Peguam Malik Imtiaz Sarwar mewakili Quah, sementara peguam K Shanmuga hadir bagi pihak Majlis Peguam Malaysia.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.