
Pusat Pendidikan Pasaran (CME) berkata, kit ujian kendiri adalah kunci dalam pengesanan awal Covid-19 yang membolehkan individu mengasingkan diri lebih pantas selain mendapatkan bantuan perubatan sebelum mendapat simptom Covid-19.
“Kekerapan ujian juga akan mewujudkan kelegaan, terutama buat pekerja apabila mengetahui mereka berada dalam persekitaran pekerjaan yang selamat,” kata Ketua Eksekutif CME, Carmelo Ferlito.
Beliau berkata, kit ujian kendiri sepatutnya menjadi sebahagian daripada strategi untuk menangani Covid-19 bagi mengatasi bilangan mereka yang dijangkiti.

Ferlito juga berkata, alat itu membolehkan tanggungjawab mengurus pandemik dipindahkan daripada pihak berkuasa kepada perniagaan dan orang ramai bagi mendapatkan hasil yang lebih baik.
Katanya, ketika ini beban melakukan ujian dan pengesanan kes adalah pada pihak berkuasa dan dengan sumber yang terhad, ia boleh menjurus kepada situasi jangkitan yang tidak dapat dikesan.
“Dengan pengenalan kit ujian kendiri di persekitaran pekerjaan, tanggungjawab itu akan ditukar daripada kerajaan kepada majikan bagi melakukan ujian terhadap pekerja setiap minggu,” katanya.
Beliau berkata, apabila kes dikesan lebih cepat, ia membolehkan tindakan sepatutnya dibuat dalam menghadap situasi itu dan mengelak keperluan perniagaan ditutup sepenuhnya.
Pakar ekonomi Geoffrey Williams dari Universiti Sains dan Teknologi Malaysia (MUST) berkata, idea di sebalik ujian kendiri adalah bagi membolehkan orang ramai mempunyai fleksibiliti melakukan pemeriksaan terhadap kesihatan mereka dan mengelak membebankan sistem kesihatan.
“Jika orang awam perlu menunjukkan ujian negatif, walaupun selepas divaksin dua kali, ini adalah cara untuk melakukannya. Secara prinsipnya, ini sepatutnya menjadikan situasi lebih baik,” katanya.

Bagaimanapun Williams mengingatkan, jika mereka perlu menyerahkan hasil ujian kepada pihak berwajib, ia akan menjadikan situasi tidak produktif dengan mereka mungkin enggan bekerjasama dan ini dapat menyebabkan hanya sedikit kes dapat dikesan.
Beliau berkata, dengan pembukaan semula ekonomi, penggunaan alat itu sebagai sebahagian daripada sasaran program advokasi “cari-uji-kesan-asing-rawat” oleh Pertubuhan Kesihatan Dunia (WHO) adalah alternatif lebih baik berbanding kawalan pergerakan.
Katanya, di United Kingdom (UK) jika seseorang disahkan positif Covid-19, mereka perlu menjalani kuarantin kendiri dan kontak rapat akan dimaklumkan oleh aplikasi Covid-19 supaya mereka juga melakukan kuarantin kendiri.
William berkata, sekurang-kurangnya 700,000 individu terkesan dan diarah duduk di rumah untuk bekerja, selain menambah bahawa ia adalah sebahagian daripada proses “uji-kesan-asing”.
“Sekitar 20% pekerja hospitaliti terkesan kerana mereka bergaul rapat dengan pelanggan. Mereka terpaksa mengasingkan diri meskipun tidak positif. Seluruh pasukan ‘diberitahu’ dalam satu masa dan tempat kerja terpaksa ditutup.
“Ini mungkin ‘harga’ yang perlu dibayar, berbanding terpaksa menutup keseluruhannya,” beliau berkata.
Kit ujian kendiri Covid-19 UK yang dirujuk Williams adalah kaedah antigen cepat sama seperti yang dijual di Malaysia. Kit ujian di UK membabitkan calitan pada hidung dan mulut.
Menurut kerajaan UK, bersekali dengan pelaksanaan pemberian vaksin, ujian kendiri secara berkala akan menjadi sebahagian penting dalam proses pelonggaran sekatan kerana ia membantu mengurangkan penyebaran Covid-19 dengan cepat.
Mereka juga berkata, ini adalah langkah ke hadapan kerana kit ujian kendiri akan membuka jalan kepada perniagaan dan aktiviti sosial dibuka semula. Di UK, alat ini boleh didapati secara percuma melalui farmasi tempatan, pusat komuniti dan perkhidmatan penghantaran terus ke rumah.