Polisi longgar, kurang tindakan tegas punca penjawat awam terjebak rasuah, kata bekas KPN

Polisi longgar, kurang tindakan tegas punca penjawat awam terjebak rasuah, kata bekas KPN

Bekas ketua polis negara itu berkata ia memberi ruang kepada pegawai kerajaan untuk bertindak mengikut budi bicara sendiri kerana tidak terikat dengan polisi ketat.

Musa Hassan berkata beliau melihat perubahan yang berlaku apabila penjawat awam lebih mengejar kesenangan dan mementingkan nilai kebendaan sebagai tujuan hidup mereka.
PETALING JAYA:
Kelonggaran polisi dan kurangnya tindakan tegas antara faktor yang membuatkan ramai penjawat awam terjerumus dalam kancah rasuah, kata bekas ketua polis negara, Musa Hassan.

Beliau berkata, faktor tersebut menyebabkan kemerosotan nilai murni seorang petugas sehingga sanggup mencemarkan integriti diri demi mencapai kesenangan.

Katanya, ia juga memberi ruang kepada pegawai kerajaan untuk bertindak mengikut budi bicara sendiri

“Kita melihat kurangnya tindakan diambil terhadap pegawai yang menyeleweng, ini menimbulkan gejala rasuah dan salah guna kuasa.

“Jadi di sini penting ketua jabatan memantau pegawai di bawah mereka agar melaksanakan tugas dengan telus,” katanya menerusi forum Perangi Jenayah Rasuah anjuran Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP).

Musa berkata, sebagai anggota polis lama berkhidmat, beliau melihat perubahan yang berlaku apabila penjawat awam lebih mengejar kesenangan dan mementingkan nilai kebendaan sebagai tujuan hidup mereka.

Katanya, ia berbeza dengan sebelum ini apabila tanggungjawab menjadi fokus utama biarpun pendapatan yang diperolehi agak kecil ketika itu.

“Ketika saya mula berkhidmat, gaji agak kecil namun kita dilatih memberi perkhidmatan terbaik kepada masyarakat namun keadaan berubah apabila kini ramai mengejar harta.

“Apa yang dilihat kini ramai pegawai kerajaan yang baru bekerja pun sudah berbelanja melebihi pendapatan dan ini menjadi punca terjebak dalam rasuah,” katanya.

Dalam laporan media Januari lalu, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) mendedahkan separuh daripada kes-kes rasuah yang berlaku di negara ini melibatkan penjawat awam sepanjang enam tahun lalu.

Berdasarkan perangkaan SPRM sejak 2015 hingga 2020, sejumlah 5,652 tangkapan telah dibuat, di mana 2,683 atau 47.5% daripada tangkapan itu membabitkan penjawat awam.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.