Ahli politik salah guna SD untuk tunjuk sokongan, kata peguam

Ahli politik salah guna SD untuk tunjuk sokongan, kata peguam

Americk Sidhu berkata Ahli Parlimen tidak perlu mengemukakan SD kepada Yang-di Pertuan Agong untuk menyatakan atau menarik sokongan terhadap seseorang.

Penggunaan SD oleh Ahli Parlimen untuk menyuarakan atau menarik sokongan politik adalah keterlaluan dan merupakan perbuatan sensasi, kata peguam. (Gambar Bernama)
PETALING JAYA:
Ahli politik menyalahgunakan akuan bersumpah (SD) untuk menyatakan atau menarik sokongan kepada Perdana Menteri Muhyiddin Yassin atau mana-mana Ahli Parlimen yang berpotensi dilantik ke jawatan itu, kata seorang peguam.

Americk Sidhu berkata, SD digunakan untuk membuktikan fakta tertentu supaya ia kekal selama-lamanya.

“Penggunaan SD untuk menyuarakan atau menarik sokongan politik adalah keterlaluan dan merupakan perbuatan sensasi. Ia tidak ada guna,” katanya kepada FMT.

Peguam itu mengulas kenyataan Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi pada Selasa yang mengatakan mereka mempunyai SD mencukupi daripada Ahli Parlimen Umno yang menarik balik sokongan kepada Muhyiddin sebagai Perdana Menteri dan pemimpin itu kini hilang sokongan majoriti.

Americk Sidhu.

Zahid berkata, SD itu turut dipersembahkan kepada Yang di-Pertuan Agong.

Bagaimanapun, Rabu lalu, Muhyiddin mengumumkan beliau tidak akan meletakkan jawatan kerana mempunyai sokongan mencukupi dan kerajaannya akan membentangkan usul undi percaya di Dewan Rakyat pada September.

Zahid mempertikaikan kenyataan Muhyiddin dengan mengatakan beliau sudah menyerahkan lebih banyak SD daripada Ahli Parlimen Umno yang menarik sokongan kepada kerajaan.

Americk berkata, Ahli Parlimen hanya perlu menulis sekeping surat yang ditandatangan untuk memaklumkan kepada pihak yang relevan sama ada mereka menyokong atau menarik balik sokongan terhadap Perdana Menteri.

“Itu hanya menyatakan mereka berubah fikiran manakala SD digunakan untuk dinyatakan di atas kertas mengenai sesuatu fakta atau fakta dinyatakan adalah benar dan bersumpah. Ia dilakukan di hadapan pesuruhjaya sumpah yang akan menyaksikan saksi sumpah menurunkan tandatangan,” katanya.

Americk adalah peguam yang membantu menyiapkan SD pertama mendiang P Balasubramaniam atau PI Bala yang mengaitkan nama besar ahli politik dalam pembunuhan warga Mongolia Altantuya Shaariibuu.

Katanya, SD boleh diketepikan sekiranya individu terbabit mendakwa mereka menerima tekanan untuk melakukannya dan ia boleh dikemukakan di mahkamah sebagai bukti sekiranya tidak ada bantahan daripada pihak lain.

“Jika ia dipertikaikan, maka terpulang kepada hakim untuk mempertimbangkan fakta yang dikemukakan,” katanya.

Bagaimanapun, peguam A Srimurugan berkata, SD boleh digunakan untuk menyuarakan atau menarik sokongan kepada Muhyiddin atau mana-mana individu yang berpotensi dilantik memimpin kerajaan.

“Saya tidak melihatnya sebagai satu perkara tidak wajar untuk mengemukakan SD Ahli Parlimen yang menyokong atau tidak kepada Yang di-Pertuan Agong,” katanya.

A Srimurugan.

Srimurugan berkata, Ahli Parlimen yang menyokong Perdana Menteri dan kemudian membatalkannya disebabkan perubahan keadaan, masih dianggap tidak melanggar sebarang undang-undang.

Katanya, mengikut kamus undang-undang, deklarasi adalah satu pernyataan rasmi, proklamasi atau pengumuman yang terkandung dalam dokumen dibenarkan oleh undang-undang.

“Oleh itu, satu pernyataan bersumpah boleh dibuat di bawah Akta Akuan Berkanun 1960,” katanya.

Srimurugan berkata, ia akan menjadi satu kesalahan sekiranya seseorang membuat dua pernyataan bercanggah atau satu pernyataan yang diketahui tidak benar.

“Ia adalah satu kesalahan di bawah Kanun Keseksaan kerana membuat pernyataan palsu menggunakan SD,” katanya.

Mereka yang didapati bersalah boleh dihukum penjara sehingga tiga tahun atau denda seperti diperuntukkan di bawah Seksyen 193 Kanun Keseksaan.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.