
Timbalan Ketua Polis Daerah Wangsa Maju, D Saralathan berkata selain wanita itu, polis akan memanggil individu lain yang terlibat dalam majlis yang berlangsung di sebuah premis di Jalan Ampang, Kuala Lumpur.
Katanya, hasil siasatan mendapati penganjur telah menyewa dewan tersebut daripada sebuah syarikat pengurus perkahwinan dan majlis.
“Hasil semakan pihak polis mendapati gambar majlis perkahwinan yang berlangsung pada 27 Julai lalu terdapat individu yang berkumpul tanpa sebarang penjarakan sosial,” katanya dalam kenyataan.
Katanya, siasatan polis menjurus kepada pelanggaran SOP kerana gagal mematuhi Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) di bawah Ordinan Darurat (Peraturan-Peraturan Pencegahan Dan Pengawalan Penyakit Berjangkit) (Pindaan) 2021 Langkah-langkah di Dalam Kawasan Tempatan Jangkitan kerana tidak mematuhi SOP yang ditetapkan.
Semalam, polis menerima laporan berhubung gambar majlis perkahwinan yang tular di aplikasi Instagram.
Bertindak atas laporan itu, polis membuka kertas siasatan di bawah Seksyen 22(b) Akta Pencegahan Dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 dan Peraturan 17 Peraturan-Peraturan Pencegahan Dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 2021.