
Jurucakap Jabatan Perkhidmatan Veterinar (JPV) berkata, pihaknya bersama Jabatan Kemajuan Islam (Jakim) adalah agensi pengawal selia proses penyembelihan haiwan di luar negara supaya patuh kepada prosedur dan syariah.
Bagi tujuan itu katanya, JPV dan Jakim akan menghantar pegawai ke Australia untuk memeriksa rumah penyembelihan yang sudah didaftarkan setiap dua tahun.
“Di JPV, kami mahu pastikan haiwan yang disembelih seperti lembu bebas penyakit dan daging yang diproses selamat, sebelum dibawa masuk ke pasaran Malaysia.
“Manakala Jakim akan memantau dari segi prosedur penyembelihan supaya patuh kepada syariah dan syarat halal sembelihan,” katanya menurut laporan Harian Metro.
Terdahulu, Persatuan Pengguna Islam Malaysia bersama Pertubuhan Kemasyarakatan Rakyat (Pekemas) dan Sahabat 99 mendedahkan pelanggaran SOP penyembelihan halal oleh sebuah syarikat di Australia yang mendapat kelulusan Jakim.
Presiden Pekemas, Faizan Mohd Nor dilaporkan berkata, berdasarkan bukti video dan gambar serta diperkukuhkan dengan saksi yang merupakan pekerja sembelihan di syarikat itu, pihaknya yakin terdapat unsur jelas pelanggaran protokol penyembelihan.
Susulan itu, Jakim dilaporkan menyiasat dakwaan pelanggaran prosedur penyembelihan halal sebuah syarikat yang diiktiraf halal oleh Malaysia di Australia.
Ketua Pengarahnya, Hakimah Mohd Yusoff dalam kenyataan semalam berkata, siasatan dilakukan pegawai atase halal Jakim di Australia dan pihak berkuasa Australia, iaitu “Department of Agriculture, Water and the Environment”.
Beliau berkata, Jakim sama sekali tidak akan berkompromi dengan mana-mana pihak sekiranya terdapat kesalahan dan ketidakakuran membabitkan proses pensijilan dan pengiktirafan halal.
Katanya, Jakim sedia memberi kerjasama penuh kepada pihak berkuasa bagi menyiasat sebarang dakwaan salah laku dalam perkara itu.
Ini termasuk melibatkan pegawai Jakim, jika ada, dan sedia menemui mana-mana pihak yang mempunyai bukti kukuh mengenai isu itu demi kepentingan semua pihak.