145 pengunjung pusat hiburan langgar SOP dikompaun RM145,000

145 pengunjung pusat hiburan langgar SOP dikompaun RM145,000

Enam individu berusia 40 hingga 43 tahun ditahan, dengan empat daripadanya positif dadah, manakala seorang penjaga premis dan seorang lagi individu dalam senarai dikehendaki polis.

Ketua Polis Johor, Kamarul Zaman Mamat berkata, semua pengunjung berusia 17 hingga 50 tahun itu masing-masing dikompaun RM1,000. (Gambar Bernama)
JOHOR BAHRU:
Seramai 145 pengunjung sebuah pusat hiburan di Jalan Ibrahim Sultan di sini dikompaun RM145,000 kerana melanggar prosedur operasi standard (SOP) pelan pemulihan negara (PPN) Fasa 4 dalam serbuan pada 2 pagi tadi.

Ketua Polis Johor, Kamarul Zaman Mamat yang mengetuai serbuan itu berkata, kesemua mereka yang berumur 17 hingga 50 tahun itu masing-masing dikompaun sebanyak RM1,000.

“Daripada jumlah itu, enam pengunjung berusia antara 40 hingga 43 tahun, iaitu empat lelaki dan dua wanita ditahan kerana empat daripadanya positif dadah, manakala dua yang lain melibatkan seorang penjaga premis dan seorang individu dalam senarai dikehendaki polis.

“Antara individu yang dikenakan tindakan kompaun termasuk enam warga Singapura, tiga warga Vietnam dan seorang warga China,” katanya kepada pemberita.

Beliau berkata, dalam serbuan itu, pelbagai peralatan bernilai RM20,000, termasuk komputer riba, pembesar suara, mixer, mikrofon dan wang tunai RM400 turut dirampas.

“Orang ramai diingatkan bahawa pusat hiburan masih tidak dibenarkan beroperasi, walaupun negara telah memasuki fasa peralihan ke endemik Covid-19 sejak 1 April lalu.”

Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 6 (2) Enakmen Hiburan Negeri Johor dan Peraturan 17 (1) Peraturan-peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Langkah-langkah di dalam Kawasan Tempatan Jangkitan) PPN 2021.

“Manakala itu empat individu yang didapati positif dadah jenis ketamin, benzo dan methaphetamine disiasat mengikut Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952.”

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.