AADK nafi langgar SOP ketika tahan suspek penagih dadah

AADK nafi langgar SOP ketika tahan suspek penagih dadah

Pegawai AADK mengikuti SOP yang betul dengan memperkenalkan diri dan menunjukkan kad kuasa, kata agensi itu.

AADK berkata, seorang individu yang ditahan dibawa ke pejabatnya di Cheras selepas dua kali cuba melarikan diri daripada pegawai.
PETALING JAYA:
Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) menafikan dakwaan pegawainya melanggar prosedur operasi standard (SOP) ketika menahan seorang lelaki disyaki pengguna dadah selepas isu itu tular di media sosial.

Agensi itu berkata, dalam kejadian pada 11 Jun lepas di Cheras, Kuala Lumpur, pegawainya menahan seorang individu yang diklasifikasikan sebagai orang yang disyaki pengguna dadah.

AADK berkata, pegawainya mengikuti SOP yang betul dengan memperkenalkan diri dan menunjukkan kad kuasa kepada individu itu.

“Ketika penahanan dilakukan, terdapat seseorang yang berada di lokasi yang sama dalam keadaan yang mencurigakan. Apabila pegawai AADK cuba mendekati individu tersebut dan memperkenalkan diri, (dia) bagaimanapun melarikan diri. Tindakan itu menimbulkan kecurigaan yang munasabah sehingga membawa kepada penangkapan.

“Selepas kedua-dua ditahan, pegawai AADK sekali lagi mempamerkan kad kuasa dan ketika semakan dalam sistem MyAADK dibuat, seorang daripada individu tersebut menolak seorang pegawai bagi cubaan melarikan diri buat kali kedua.

“Tindakan itu membawa kepada penahanannya dan dia dibawa ke Pejabat AADK Cheras untuk tindakan dokumentasi dan ujian-ujian tertentu bagi mengenalpasti sama ada penagih ataupun tidak,” katanya dalam kenyataan.

AADK berkata, selepas urusan dokumentasi dan keputusan ujian saringan awal air kencing mendapati seorang daripadanya negatif, individu itu dibebaskan.

Agensi itu mengakui tindakan dokumentasi mengambil sedikit masa disebabkan bilangan tangkapan ramai, namun proses penahanan tidak melebihi 24 jam dan masih mematuhi SOP.

“AADK mengambil serius berkenaan tatakelola pegawai dan akan lebih berhati-hati ketika menjalankan tugas,” katanya.

Terdahulu, seorang warganet meminta orang ramai membantu mengesan adik lelakinya berusia 22 tahun yang hilang. Beliua kemudian mengetahui adiknya ditahan oleh AADK.

Pengguna X, @syaidailmuna berkata, adiknya dalam perjalanan pulang dari kerja apabila didekati oleh dua individu berpakaian biasa yang memintanya menunjukkan kad pengenalan. Menurutnya, kedua-dua individu ini tidak memperkenalkan diri.

Beliau berkata, adiknya mengalami trauma dan cedera ringan susulan pergelutan dengan pegawai AADK tersebut.

Katanya, ketika dalam tahanan AADK, adiknya tidak dibenarkan menghubungi ahli keluarga dan ditahan bersama penagih dadah.

Beliau mendakwa, AADK melanggar SOP apabila menahan adiknya, terutama berkenaan menghubungi ahli keluarga tahanan dalam tempoh 24 jam.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.