Olimpik Tokyo: Episod mengecewakan terus selubungi kontinjen negara

Olimpik Tokyo: Episod mengecewakan terus selubungi kontinjen negara

Harapan untuk melihat beregu lelaki negara membuat kejutan mara ke final sekali gus berpeluang meraih pingat emas, tidak kesampaian apabila tumpas kepada pasangan dari China Li Jun Hui-Liu Yu Chen 22-24, 13-21.

Beregu lelaki negara, Aaron Chia-Soh Wooi Yik berpeluang menebus kekecewaan semalam sekali gus menyumbangkan pingat pertama buat negara apabila turun berdepan gandingan Mohammad Ahsan-Hendra Setiawan dari Indonesia pada perlawanan penentuan pingat gangsa, petang nanti. (Gambar AP)
TOKYO:
Satu hari lagi episod mengecewakan buat kontinjen Malaysia dalam usaha meraih pingat emas sulung negara pada temasya Sukan Olimpik Tokyo 2020, yang memasuki hari kelapan hari ini.

Selepas perseorangan lelaki negara, Lee Zii Jia yang diletakkan harapan menyumbangkan pingat emas pertama itu terkandas di pusingan 16 terbaik semalam, kini tiba giliran beregu lelaki utama negara Aaron Chia-Soh Wooi Yik, pula kecundang di peringkat separuh akhir, malam tadi.

Harapan untuk melihat pasangan muda negara itu membuat kejutan mara ke final sekali gus berpeluang meraih pingat emas, tidak kesampaian apabila mereka tumpas kepada pasangan dari China Li Jun Hui-Liu Yu Chen 22-24, 13-21 di Musashino Forest Sport Plaza.

Namun, beregu lelaki negara itu berpeluang menebus kekecewaan itu sekali gus menyumbangkan pingat pertama buat negara apabila turun berdepan gandingan Mohammad Ahsan-Hendra Setiawan dari Indonesia pada perlawanan penentuan pingat gangsa, petang nanti.

Sementara itu, nasib berbeza buat dua penerjun negara di Pusat Akuatik Tokyo hari ini apabila Nur Dhabitah Sabri mengesahkan slot ke peringkat separuh akhir manakala Ng Yan Yee terkandas di pusingan kelayakan acara 3 meter (m) papan anjal individu wanita.

Di Stadium Olimpik Tokyo pagi semalam, pelari pecut wanita negara, Azreen Nabila Alias mencuri tumpuan peminat sukan tanah air apabila mara ke pusingan pertama acara 100 meter, selepas menamatkan saingan di tempat kedua dalam saingan kelayakan acara berkenaan.

Lebih membanggakan, pelari kelahiran Terengganu itu yang kali pertama beraksi di pentas Olimpik, turut memperbaharui rekod peribadi terbaiknya apabila mencatat masa 11.77s dalam saringan kedua acara berkenaan.

Catatan peribadi terbaik atlet berusia 21 tahun itu, yang meraih tiket ‘wild card’ di temasya Sukan Olimpik Tokyo adalah 11.91s, yang dicipta semasa Sukan Malaysia (Sukma) 2018 di Perak.

Pada saringan keenam pusingan pertama yang berlangsung di Stadium Olimpik Tokyo itu, Azreen Nabila, bagaimanapun menamatkan cabaran di tempat ketujuh dengan masa 11.91s, sekali gus gagal layak ke separuh akhir.

Sementara itu, nasib malang menimpa jaguh lompat tinggi negara Lee Hup Wei pada penampilan ketiganya di pentas Olimpik.

Pada saingan berlangsung pagi tadi, atlet kelahiran Kajang, Selangor itu yang mempunyai catatan peribadi terbaik 2.29 meter (m), gagal melepasi ketinggian pertama 2.17 meter (m) dalam ketiga-tiga percubaannya pada pusingan kelayakan tersebut.

Di Enoshima Yacht Harbour, pengalaman terus memisahkan gandingan pelayar negara Nuraisyah Jamil dan Juni Karimah Noor Jamali dengan jaguh handalan dunia pada hari ketiga acara International 470 Wanita.

Selepas enam perlumbaan, Nuraisyah-Juni Karimah berada di ranking ke-20 daripada 21 peserta dengan mengumpul 91 mata bersih dengan baki dua hari perlumbaan selepas ini yang akan bersambung pada Ahad.

Pelayar wanita negara Nur Shazrin Mohamad Latif pula boleh menarik nafas lega selepas berjaya memperbaiki pencapaiannya dalam acara Laser Radial Wanita pada penampilan keduanya di temasya Olimpik.

Dalam pada itu, pelayar lelaki negara Khairulnizam Mohd Afendy mengakhiri saingan acara Laser Standard Lelaki di tempat ke-28 daripada 35 peserta dengan 196 mata bersih selepas menamatkan perlumbaan kesembilan dan ke-10, masing-masing di tempat ke-23 dan ke-20.

Sementara itu, pemain negara Gavin Green terpaksa menunggu sehingga hari ini untuk menamatkan pusingan kedua acara golf Sukan Olimpik Tokyo 2020 selepas pusingan itu ditangguhkan susulan cuaca buruk di Kasumigaseki Country Club.

Dalam pada itu, pemanah negara Khairul Anuar Mohamad akan turun beraksi pada pusingan ketiga acara Recurve Individu Lelaki di Lapangan Memanah Yumenoshima.

Aksi hari ini juga melibatkan penembak wanita berpengalaman negara Nur Suryani Mohamed Taibi yang akan memulakan saingan dalam pusingan kelayakan 50m Rifle 3 Posisi Wanita di Lapangan Menembak Asaka.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.