
Beregu nombor 24 dunia itu mempamerkan aksi memberangsang untuk mengejutkan beregu Indonesia, Moh Reza Pahlevi-Sabar Karyaman Gutama yang berada di ranking nombor lapan dunia dengan kemenangan 22-20, 21-18, dalam pertarungan sengit 79 minit dalam aksi final.
Perlawanan itu beberapa kali tertangguh susulan air hujan menitis melalui bumbung Macau East Asian Games Dome, memaksa pegawai perlawanan mengeringkan gelanggang hampir setiap kali selepas mata dipungut.
Sebagai juara, Arif-Roy King membawa pulang hadiah wang tunai USD29,230 (RM125,128), manakala naib juara meraih USD14,060 (RM60,188) dalam kejohanan Jelajah Dunia BWF Super 300 itu.
Kemenangan Wan Arif-Roy King merupakan yang pertama dalam tiga aksi bertemu pasangan Indonesia berkenaan.
Kemenangan pasangan negara juga menamatkan kemarau 12 tahun Malaysia dalam beregu lelaki di Terbuka Macau. Kali terakhir beregu negara merangkul kejuaraan menerusi Hoon Thien How-Tan Wee Kiong, pada 2013.
Sebelum ini, Wan Arif-Roy King pernah mara ke final kejohanan Jelajah Dunia sekali – di Sepanyol Masters tahun lalu – namun sekadar berpuas hati selaku naib juara.
Pencapaian terbaik mereka tahun ini adalah mara ke separuh akhir Orleans Masters di Perancis, selain lolos ke suku akhir masing-masing di Indonesia Masters, Terbuka Jerman, dan Terbuka Thailand.