
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Kuala Lumpur, Mohd Mahidisham Ishak berkata serbuan dilakukan di premis berkenaan susulan laporan diterima daripada mangsa pada 17 Julai lepas.
“Suspek yang ditahan berusia 30 hingga 36 tahun. Turut dirampas dalam serbuan itu ialah 10 telefon bimbit, ‘router’, modem dan buku nota yang disyaki digunakan dalam kegiatan berkenaan.
“Mangsa mengalami kerugian sebanyak RM34,959 dan kes disiasat di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana melakukan penipuan,” katanya dalam kenyataan.
Beliau berkata modus operandi sindiket berkenaan adalah menawarkan pinjaman kepada mangsa menggunakan media sosial seperti Facebook, Instagram dan WeChat.
Menurutnya jika mangsa bersetuju dengan tawaran pinjaman itu, mereka perlu membayar deposit, insurans serta kos memproses pinjaman, dan pembayaran pula dibuat ke dalam akaun bank keldai.
“Mangsa hanya menyedari ditipu selepas pembayaran dibuat, manakala pihak terbabit pula gagal dihubungi,” katanya.
Tambahnya, ketiga-tiga suspek berkenaan baru sahaja bekerja dengan sindiket itu sejak sebulan lepas.
Mahidisham seterusnya menasihatkan orang ramai agar tidak mudah percaya tawaran iklan mempromosi pinjaman wang dengan kadar faedah rendah serta jaminan memproses pinjaman dengan cepat tanpa syarat ketat.