
Nik Muhammad Zawawi Salleh (PAS-Pasir Puteh) berkata, beliau menyarankan pihak pembangkang mencadangkan satu pelan kepada Kementerian Kesihatan (KKM) yang boleh digunakan dalam menangani Covid-19.
“Kepada pembangkang, kalau kita bincang biarlah untuk masa depan. Kalau nak ungkit yang belakang semua boleh ungkit.
“Kerajaan boleh ungkit 1,001 macam boleh ungkit tetapi kalau ungkit yang telah berlaku tidak ada guna.
“Kalau nak ungkit jangkitan Covid-19 yang paling tinggi Selangor, punca tersebar di Sabah, Semporna (Ahli Parlimen Semporna Shafie Apdal) yang bubar Dewan Undangan Negeri, kalau nak bangkit,” katanya semasa membahaskan Pelan Pemulihan Negara yang dibentangkan di Dewan Rakyat.
Zawawi juga berkata, kerajaan sudah tentu boleh mendengar cadangan daripada pembangkang jika pelan tersebut belum pernah dilaksanakan oleh kerajaan atau KKM.
“Setakat nak komen angka, budak sekolah boleh komen,” katanya.
Bagaimanapun, kenyataan Zawawi itu dibidas oleh Khalid Samad (PH-Shah Alam) yang berkata, pembangkang sudah berkali-kali mencadangkan pelan kepada kerajaan untuk tangani Covid-19.
Kata Khalid, namun kerajaan tidak mendengar cadangan mereka malahan tidak membuka Parlimen sebelum ini.
“Dah berkali-kali komen, tetapi buat pekak. Kita suruh buka Parlimen, baru setahun nak buka.
“Sudah 17,000 kes Covid-19 sehari, baru nak buka Parlimen,” katanya.