Tiada dokumen sah, 98 kenderaan diarah patah balik di Bentong

Tiada dokumen sah, 98 kenderaan diarah patah balik di Bentong

Semua pemandu diarah berpatah balik selepas pemeriksaan mendapati mereka tidak mempunyai dokumen sah untuk merentas negeri.

Polis mengadakan tiga sekatan jalan di Bentong, iaitu selepas Plaza Tol Bentong menghala ke Kuantan, hadapan Sekolah Menengah Kebangsaan Bukit Tinggi dan Jalan Simpang Durian di Manchis. (Gambar Bernama)
PETALING JAYA:
Sebanyak 98 kenderaan diarahkan berpatah balik ketika cuba melalui tiga sekatan jalan raya (SJR) di sekitar Bentong dalam tempoh Pelan Pemulihan Negara (PPN) sejak Khamis lalu.

Tiga SJR itu didirikan selepas Plaza Tol Bentong menghala ke Kuantan, hadapan Sekolah Menengah Kebangsaan Bukit Tinggi dan Jalan Simpang Durian di Manchis.

Ketua Polis Daerah Bentong, Zaiham Mohd Kahar, berkata semua pemandu diarah berpatah balik selepas pemeriksaan mendapati mereka tidak mempunyai dokumen sah untuk merentas negeri.

“Ini termasuk tiada (surat) kebenaran merentas negeri daripada polis dan ada yang menggunakan surat kebenaran Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) atas sebab tidak munasabah.

“Kita turut mengeluarkan lima kompaun atas pelbagai kesalahan lain,” katanya dalam kenyataan.

Zaiham berkata, polis tidak akan teragak-agak mengenakan kompaun ke atas individu yang melanggar SOP serta Peraturan-peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 2021.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.