829 mangsa pemerdagangan manusia diselamatkan, kata Bukit Aman

829 mangsa pemerdagangan manusia diselamatkan, kata Bukit Aman

Mereka diselamatkan dalam 190 serbuan polis di seluruh negara sepanjang Januari tahun lalu hingga Mei tahun ini.

Jenayah pemerdagangan manusia adalah isu global yang sedang dibanteras dengan serius oleh polis, kata Pengarah JSJ Bukit Aman Abd Jalil Hassan.
KUALA LUMPUR:
Seramai 829 orang dipercayai mangsa pemerdagangan manusia diselamatkan dalam 190 serbuan polis di seluruh negara sepanjang Januari tahun lalu hingga Mei tahun ini, menurut Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman.

Pengarahnya, Abd Jalil Hassan berkata, daripada jumlah itu, 74 orang mendapat Perintah Perlindungan (PO) tahun lalu, manakala 65 lagi memperolehnya dalam tempoh lima bulan pertama tahun ini.

“Seramai 599 orang diselamatkan hasil 146 serbuan tahun lalu manakala 230 orang diselamatkan dalam 44 serbuan dari Januari hingga Mei tahun ini,” katanya.

Selain itu, 243 individu turut ditahan kerana disyaki terlibat dalam jenayah pemerdagangan manusia sepanjang tahun lalu dan 110 orang ditahan tahun ini, tambahnya.

Jenayah pemerdagangan manusia adalah isu global yang sedang dibanteras dengan serius oleh polis, menurut Abd Jalil.

“Antara (usahanya adalah) bekerjasama dengan pertubuhan bukan kerajaan yang banyak membantu dalam penyaluran maklumat dan mewujudkan kesedaran awam berhubung jenayah pemerdagangan manusia dan penyeludupan migran.

“(Selain itu), pelbagai program tahunan termasuk kursus, latihan dalam perkhidmatan, seminar dan bengkel dijalankan sama ada anjuran dalaman atau kerjasama dengan agensi atau pertubuhan luar,” katanya.

Program berkenaan katanya, bertujuan meningkatkan pengetahuan, kemahiran dan kepakaran pegawai terutamanya dalam kalangan agensi penguatkuasaan dan pendakwaan.

Abd Jalil berkata, polis berusaha membanteras jenayah ini terutamanya membabitkan buruh paksa dengan tindakan yang berterusan.

Menurutnya, polis menjalankan 62 serbuan membabitkan jenayah eksploitasi buruh paksa sepanjang tahun lalu dan sehingga Mei tahun ini, sebanyak 25 serbuan dijalankan.

“Kebanyakan mangsa adalah rakyat Indonesia, Filipina dan India,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.