Tahanan POCA dapat peluang kedua rayu habeas corpus

Tahanan POCA dapat peluang kedua rayu habeas corpus

Ketua Hakim Negara Tengku Maimun Tuan Mat berkata, berlaku pelanggaran keadilan asasi dalam prosiding rayuan pada 19 Februari.

Panel lima hakim sebulat suara membenarkan permohonan semakan tertuduh yang ditahan mengikut Akta Pencegahan Jenayah.
PUTRAJAYA:
Seorang lelaki yang ditahan di bawah perintah pencegahan jenayah sejak tahun lalu berkaitan dakwaan aktiviti jenayah berjaya memohon supaya rayuan habeas corpusnya didengar sekali lagi oleh Mahkamah Persekutuan.

Ini susulan keputusan sebulat suara panel lima hakim Mahkamah Persekutuan membenarkan permohonan semakan yang dikemukakan oleh M Nivesh Nair terhadap panel mahkamah tertinggi negara itu belum ini.

Nivesh dalam permohonannya bertarikh 10 Mac lalu meminta panel baharu Mahkamah Persekutuan menggunakan Perintah 137 Peraturan-peraturan Mahkamah Persekutuan 1995 untuk mengetepikan keputusan majoriti terdahulu seterusnya membolehkan kes itu didengar semula.

Ketua Hakim Negara Tengku Maimun Tuan Mat yang menyampaikan keputusan itu selepas sesi prosiding secara maya berkata, berlaku pelanggaran keadilan asasi dalam prosiding rayuan pada 19 Februari.

“Keputusan majoriti terdahulu diketepikan,” kata Tengku Maimun yang turut bersidang bersama Mohd Zawawi Salleh, Zaleha Yusof, Harmindar Singh Dhaliwal dan Rhodzariah Bujang.

Nivesh diwakili peguam Gopal Sri Ram, S Preakas, J Ravin dan Yasmeen Soh manakala Peguam Kanan Persekutuan Shamsul Bolhassan, Muhammad Sinthi dan Liew Horng Bin hadir bagi pihak kerajaan.

Nivesh bersama J Devandren, K Rovin Joty, V Ragu, Darweesh Raja Sulaim dan R Vellu ditangkap mengikut Akta Pencegahan Jenayah (POCA) dan diperintahkan ditahan tanpa perbicaraan di Penjara Simpang Renggam serta Bentong selama dua tahun.

Mereka memfailkan permohonan habeas corpus untuk dibebaskan namun ditolak oleh Mahkamah Tinggi.

Seterusnya mereka memfailkan rayuan di Mahkamah Persekutuan atas alasan mengikut Perlembagaan, namun ditolak dengan majoriti 4-1.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.