Permohonan Petronas di Mahkamah Persekutuan, pemimpin Sarawak beza pandangan

Permohonan Petronas di Mahkamah Persekutuan, pemimpin Sarawak beza pandangan

Wilfred Yap kata kejelasan undang-undang adalah proses mahkamah manakala Pemuda SUPP suarakan kebimbangan.

Premier Sarawak Abang Johari Openg berkata negeri itu akan akur dengan sebarang keputusan Mahkamah Persekutuan terhadap permohonan Petronas untuk memperjelaskan kerangka kawal selia berkaitan operasinya di Sarawak.
PETALING JAYA:
Pemimpin Sarawak berbeza pandangan berhubung langkah Petronas memohon Mahkamah Persekutuan memperjelaskan kerangka kawal selia berkaitan operasinya di negeri itu, dengan sebahagiannya menyokong manakala yang lain beri ingatan tentang implikasinya terhadap hak Sarawak.

Adun Kota Sentosa, Wilfred Yap, berkata permohonan yang difailkan Petronas di Mahkamah Persekutuan wajar dilihat sebagai usaha menangani ketidakpastian undang-undang yang telah lama wujud akibat pertindihan undang-undang minyak dan gas persekutuan serta negeri.

Beliau berkata mahkamah merupakan pihak paling sesuai untuk mentafsir Perlembagaan Persekutuan, Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) serta perundangan yang mengawal sektor berkenaan.

Menurut Yap, kejelasan undang-undang akan mengukuhkan kedudukan Sarawak dalam rundingan dan kerjasama pada masa hadapan, di samping memberikan kepastian kepada pemain industri dan pelabur.

Beliau turut mengingatkan agar isu tersebut tidak dipolitikkan, sambil menegaskan bahawa penentuan kehakiman dapat mengelakkan pertikaian lanjut.

Namun, respons lebih berhati-hati disuarakan Pemuda Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP) yang mengulangi sokongan terhadap autonomi Sarawak di bawah MA63, sambil mempersoalkan langkah Petronas mendapatkan campur tangan mahkamah.

“Saya maklum pengumuman Petronas mengenai permohonannya kepada Mahkamah Persekutuan untuk mendapatkan kejelasan berhubung kerangka kawal selia yang mengawal operasinya di Sarawak,” kata pengerusi pusatnya, Kevin Lau.

“Walaupun Petronas dakwa langkah ini tidak bertujuan mencabar aspirasi pembangunan Sarawak atau peranan Petroleum Sarawak Bhd (Petros), hakikatnya hak Sarawak ke atas sumber asli jelas diperuntukkan di bawah MA63 dan Perlembagaan Persekutuan,” katanya.

Lau berkata langkah itu mencerminkan keengganan untuk mengiktiraf sepenuhnya kedudukan perlembagaan dan undang-undang Sarawak dalam mengawal selia sumbernya sendiri, meskipun isu berkaitan telah pun dibawa ke mahkamah sebelum ini.

Beliau turut mengulangi pendirian Pemuda SUPP bahawa Petros seharusnya diiktiraf sebagai pengagregat tungal gas asli cecair yang diekstrak di Sarawak.

Petronas sebelum ini menyatakan permohonannya bertujuan ia terus beroperasi selaras dengan kerangka kawal selia serta amalan tadbir urus yang baik, dan untuk cabar aspirasi pembangunan Sarawak atau peranan Petros.

Premier Sarawak Abang Johari Openg kemudiannya menggesa semua piha bertenang, sambil menegaskan bahawa Mahkamah Persekutuan perlu diberi ruang untuk mengadili permohonan Petronas tersebut.

Menyifatkan permohonan itu sebagai sebahagian daripada proses undang-undang biasa, beliau enggan mengulas kandungan kes berkenaan dan berkata Sarawak hormati kedaulatan undang-undang serta mematuhi sebarang keputusan mahkamah tertinggi itu.

Abang Johari berkata pertikaian melibatkan kuasa persekutuan dan negeri perlu diselesaikan melalui saluran institusi dan perundangan, selaras dengan pendirian Sarawak dalam isu-isu yang timbul daripada MA63.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.