
Peguam Sangeet Kaur Deo berkata pada sidang media di Putrajaya berkata terdapat beberapa isu undang-undang yang perlu diputuskan oleh mahkamah tertinggi itu, termasuk sama ada seorang majikan (kerajaan) boleh dipertanggungjawabkan secara vikarius atas kesalahan pekerjanya.
Hari ini, Mahkamah Rayuan memutuskan kerajaan tidak bertanggungjawab secara vikarius terhadap tindakan bekas anggota polis Sirul Azhar Umar dan Azilah Hadri, atas alasan mereka tidak menjalankan tugas rasmi ketika pembunuhan itu berlaku.
Mahkamah sama turut mengekalkan liabiliti terhadap Sirul, Azilah dan penganalisis politik Razak Baginda atas penglibatan mereka dalam kematian Altantuya.
Sirul dan Azilah disabitkan kesalahan membunuh Altantuya pada 2015.
Mahkamah Rayuan turut mengurangkan ganti rugi yang diberikan kepada keluarga Altantuya daripada RM5 juta kepada RM1.38 juta.
Keadilan dan kebertanggungjawaban
Bapa Altantuya, Shaariibuu Setev, berkata saman itu tidak pernah bertujuan untuk mendapatkan ganti rugi, sebaliknya untuk menuntut keadilan dan memastikan pihak yang bertanggungjawab atas kematian anaknya dikenakan hukuman.
“Saya mencari satu permohonan maaf,” kata Shaariibuu dalam sidang media itu menerusi seorang jurubahasa.
Shaariibuu berkata beliau mahu mendengar sendiri daripada Azilah mengenai siapa yang sebenarnya memberikan arahan untuk membunuh anaknya.
Sangeet berkata mereka telah memfailkan semakan kehakiman tahun lalu, memohon pihak berkuasa melengkapkan siasatan terhadap afidavit Azilah pada 2019.
Azilah mendakwa beliau menerima arahan daripada ‘pihak atasan’ untuk melaksanakan satu ‘operasi sulit’ bagi ‘membunuh dan melupuskan si mati (Altantuya)’. Kes itu kini masih menunggu pendengaran di Mahkamah Tinggi.
Azilah kini sedang menjalani hukuman penjara selama 40 tahun atas pembunuhan Altantuya, manakala Sirul telah melarikan diri ke Australia.