
Kejadian dilaporkan berlaku di Kampung Pecah Gadung kira-kira jam 8 pagi apabila mangsa ditanduk beberapa kali oleh lembu terbabit sebelum diselamatkan rakannya itu.
Bagaimanapun, mangsa berusia 50 tahun yang dikenali sebagai Hakim, disahkan berada dalam keadaan stabil selepas dikejarkan ke Hospital Sultanah Bahiyah (HSB).
Rakan mangsa yang juga pemilik ladang lembu itu, Mat, 30, berkata sebelum kejadian dia cuba merawat ternakannya yang mengalami kecederaan pada bahagian kaki.
Namun, lembu sado seberat lebih satu tan itu secara tiba-tiba bertindak agresif dan menyerang mangsa.
“Hakim selalu datang ke sini untuk membantu menjaga lembu di sini. Namun, semalam ia secara tiba-tiba bertindak agresif, mungkin kerana tidak begitu sihat.
“Saya terkejut melihatnya terus menanduk mangsa sebanyak dua hingga tiga kali ketika cuba merawat kakinya,” katanya menurut laporan Sinar Harian hari ini.
Katanya, dia cuba menyelamatkan Hakim dan sempat menariknya daripada ditanduk pada bahagian dada.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kota Setar Ahmad Shukri Mat Akhir memaklumkan pihak Ibu Pejabat Polis Daerah Kota Setar tidak menerima laporan berhubung kejadian berkenaan.