
Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Pencegahan) SPRM, Shamshun Baharin Mohd Jamil, berkata kewujudan undang-undang berkenaan membolehkan mereka mengambil tindakan lanjut ke atas ahli politik yang gagal berbuat demikian.
Katanya, ketiadaan undang-undang itu menyebabkan mereka sukar melakukan sebarang pengesahan berhubung dokumen berkaitan.
“Kita tidak mempunyai satu undang-undang khas yang mewajibkan pengisytiharan harta buat masa ini dan ia menyebabkan sukar untuk SPRM mengesahkan dokumen pengisytiharan yang diterima.
“Bagi saya, kita wajar mencontohi negara jiran seperti Indonesia dan Thailand yang mempunyai peruntukan undang-undang berkaitan pengisytiharan harta
“Jika mereka gagal membuat pengisytiharan harta, tindakan boleh diambil mengikut undang-undang terbabit,” katanya dipetik Sinar Harian menerusi sidang akhbar secara maya, hari ini.
Shamshun berkata, pengisytiharan harta itu sudah bermula sejak 2018 lagi menerusi satu pembentangan dalam mesyuarat bersama Jawatankuasa Khas Kabinet Mengenai Antirasuah (JKKMAR).
“Secara dasarnya kerajaan pada ketika itu bersetuju dan meminta SPRM menyediakan platform,” katanya.
Beliau berkata, pada 2019, Dewan Rakyat dan Dewan Negara meluluskan usul secara sebulat suara untuk mewajibkan semua Ahli Parlimen mengisytiharkan harta mereka kepada Yang Dipertua dewan masing-masing dan satu salinan kepada SPRM.
“Peranan kita adalah sebagai ‘custodian’ (penjaga) dalam perkara ini. Suruhanjaya ini akan memaparkannya di portal Pengisytiharan Harta dalam tempoh tiga bulan selepas ia diisytihar,” jelasnya.
Selain itu, Shamsun berkata, sehingga kini terdapat 22 daripada 220 ahli Parlimen termasuk seorang timbalan menteri masih belum mengisytihar harta.
Manakala, seramai 26 daripada 65 orang ahli Dewan Negara belum mengisytihar harta.