
Syed Iskandar Jaafar al-Mahdzar berkata, kertas siasatan sepatutnya dirujuk kepada Jabatan Peguam Negara untuk ditentukan sama ada terdapat dakwaan yang akan difailkan di mahkamah.
“Ia adalah dakwaan yang serius bahawa seorang peguam di negara ini boleh memaklumkan sebuah syarikat asing bahawa dia melindungi laluan mereka ke peringkat Ketua Hakim Negara,” katanya.
Beliau mengulas laporan yang dibuat pada 7 Jun lalu oleh seorang pegawai kepada Ketua Hakim Negara Tengku Maimun Tuan Mat yang tidak dikenali berhubung pesanan teks yang berpotensi memberi gambaran buruk terhadap badan kehakiman.

FMT difahamkan laporan polis itu mendedahkan, satu daripada pesanan teks itu dihantar kepada anak guam warga asing yang mengatakan ‘laluan dilindungi sehingga ke peringkat Ketua Hakim Negara’.
Difahamkan, pesanan teks itu mempunyai kaitan dengan dua rayuan sivil yang ditangguhkan di Mahkamah Rayuan.
FMT turut mendapatkan perkembangan terkini daripada Ketua Polis Daerah Sepang Wan Kamarul Azran Wan Yusof berhubung kes berkenaan.
Difahamkan siasatan dilakukan mengikut Seksyen 233 (1) (a) Akta Komunikasi dan Multimedia untuk penggunaan kemudahan rangkaian yang tidak betul, Seksyen 500 Kanun Keseksaan kerana fitnah, dan Seksyen 504 undang-undang yang sama kerana penghinaan yang disengajakan untuk mencetuskan pelanggaran keamanan.
Pada 20 Jun, dua peguam terkemuka Lim Chee Wee dan Rosli Dahlan, membuat laporan polis menafikan terbabit dengan sebarang pesanan teks yang menyebut nama mereka dan membicarakan mengenai perkara-perkara yang didakwa merosakkan imej kehakiman.
Polis difahamkan sudah merekodkan kenyataan daripada lapan saksi, termasuk tiga peguam dan seorang bekas pengarah undang-undang syarikat asing itu bagi cawangan di Malaysia. Penyiasat juga sudah merampas telefon bimbit dan komputer ribanya.
Syed Iskandar berkata, polis juga perlu merampas telefon bimbit peguam yang terbabit dalam laporan itu dan tidak seharusnya dipengaruhi oleh mana-mana pihak.
“Polis harus mendapatkan bantuan rakan sejawat mereka di Norway untuk menyiasat hal syarikat asing itu dan mengesan pesanan teks berkenaan,” katanya.
Sementara itu, peguam A Srimurugan berkata siasatan itu mempunyai kepentingan untuk negara kerana kredibiliti dan integriti badan kehakiman dipersoalkan di luar negara.

Dia berkata walaupun laporan itu dibuat oleh seorang pegawai, ‘ia umpama dibuat oleh Tengku Maimun sebagai Ketua Hakim Negara’, dan polis harus mengambil serius kes terbabit.
“Polis harus memaklumkan hasil siasatan kepada Jabatan Peguam Negara yang mesti memberitahu orang ramai mengenai keputusan mereka memandangkan kes ini membabitkan kepentingan orang awam,” katanya.
Srimurugan berkata Tengku Maimun berusaha keras untuk meningkatkan keyakinan orang awam terhadap badan kehakiman sejak dilantik dua tahun lalu.
“Banyak tamparan yang dihadapi sebelum ini, terbaru, satu afidavit yang difailkan hakim kanan untuk menyokong saman,” katanya.
Tiga tahun lalu, Hakim Mahkamah Rayuan Hamid Sultan Abu Backer mendakwa terdapat campur tangan badan itu dalam beberapa kes berprofil tinggi.
Pada Feb, Jawatankuasa Etika Hakim menggantungnya daripada tugas sehingga persaraannya bulan depan.
Hamid enggan menghadiri pendengaran jawatankuasa itu kerana dia ingin mencabar komposisi dan pendirian undang-undang keputusan berkenaan.