Selain itu, jika pembuat dasar gagal merangka pelan pemulihan ekonomi yang komprehensif yang tidak bergantung pada sekatan penuh, ahli ekonomi Paolo Casadio percaya “parutnya” mungkin jauh lebih mendalam berbanding “luka” itu sendiri.
Dalam bahagian ketiga siri FMT mengenai pemulihan ekonomi, kami meliputi impak mendalam akibat wabak dan kesannya jika tiada langkah diambil untuk mengelaknya.
Pertumbuhan rendah menghantui
Dalam jangka masa panjang, Casadio, profesor ekonomi di HELP University, percaya mungkin ada kesan kekal terhadap kadar pertumbuhan dan daya saing ekonomi negara.
“Penurunan pelaburan sedang berlaku. Tahap tertinggi pelaburan keseluruhan yang dicapai pada Q3 2018 tidak akan dapat dicapai lagi sehingga 2023, menurut jangkaan kami. Bahkan nisbah pelaburan kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNKK) sedang dalam trend menurun.
“Ini mewakili kualiti pertumbuhan ekonomi dan berkait dengan kemampuan jangka panjang ekonomi untuk menghasilkan barangan dan perkhidmatan,” katanya, memandangkan pelaburan yang rendah mencerminkan sesebuah negara tidak dipandang sebagai destinasi produktif untuk perniagaan.
Selain itu, gangguan terhadap pendidikan akan memberi impak kepada kualiti modal insan negara yang seterusnya mempengaruhi daya pengeluaran perniagaan dan sekali lagi kemampuan ekonomi untuk berkembang.
Casadio berkata, sementara komuniti perniagaan di seluruh dunia turut terjejas dengan wabak, ada tanda-tanda Malaysia kurang mahir menangani cabaran yang timbul dan ini telah mengubah daya saing negara di peringkat serantau.
“Apabila kita bandingkan kemunduran (ekonomi) Malaysia semasa krisis ini dengan perkembangan Singapura atau dengan pemulihan di Vietnam, kita dapat melihat kehilangan kedudukan (negara) secara relatif,” katanya.
Impak terhadap rakyat
Walaupun pengangguran mencapai angka rekod semasa wabak, kembali kepada keadaan “normal” mungkin tidak dapat menyelesaikan masalah jika pertumbuhan yang buruk tidak ditangani.
Dari segi sejarah, bagi menampung tenaga kerja yang terus berkembang – tempatan mahupun asing – ekonomi perlu tumbuh pada kadar sekitar 5% setahun.
Jika pertumbuhan terhad kepada 3.5%-4% setahun untuk jangka masa yang dapat diramalkan, menurut unjuran Casadio, lebih ramai orang tidak dapat mencari kerja walaupun mereka mahu atau ada cukup kemahiran kerana permintaan pekerjaan akan mengatasi bekalan.
“Jika kita ambil kira juga kesan automasi dan cara berbeza penggunaan teknologi baharu melalui revolusi industri keempat akan membantu syarikat menjimatkan kos buruh, situasi pengangguran boleh menjadi masalah struktur serius yang akan dihadapi generasi baharu,” katanya.