Tiada had jemaah masjid, surau di Terengganu, Kedah pula syaratkan jemaah mesti lengkap divaksin.

Tiada had jemaah masjid, surau di Terengganu, Kedah pula syaratkan jemaah mesti lengkap divaksin.

Keputusan Majlis Agama Islam Dan Adat Melayu Terengganu (MAIDAM) itu selaras dengan situasi semasa Covid-19 di negeri itu yang kini menjalani Fasa 2 PPN.

Bilangan jemaah mesti mengikut keluasan masjid dan surau serta mematuhi SOP, dengan kehadiran hanya untuk ahli kariah yang bermastautin dan warganegara.
KUALA TERENGGANU:
Bermula hari ini, tiada lagi had bilangan jemaah untuk semua masjid dan surau di seluruh Terengganu, manakala Kedah juga bermula esok, mengambil langkah sama dengan menghadkan bilangan jemaah mengikut zon dengan syarat sudah lengkap divaksinasi.

Keputusan Majlis Agama Islam Dan Adat Melayu Terengganu (MAIDAM) itu adalah selaras dengan situasi semasa Covid-19 di negeri itu yang kini menjalani fasa dua Pelan Pemulihan Negara (PPN).

Yang Dipertua MAIDAM Osman Muda berkata keputusan itu telah diperkenan Sultan Terengganu Sultan Mizan Zainal Abidin setelah mendapatkan pandangan mufti, Pengarah Majlis Keselamatan Negara (MKN) dan Pengarah Kesihatan negeri.

“Bilangan jemaah mestilah mengikut keluasan masjid dan surau serta mematuhi semua prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan kerajaan.

“Kehadiran hanya dibenarkan kepada ahli kariah yang bermastautin dan warganegara sahaja kecuali mana-mana orang yang diberi kebenaran khas oleh Pesuruhjaya Hal Ehwal Agama Terengganu,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Katanya, imam masjid juga dikehendaki membaca Qunut Nazilah ketika solat Jumaat dan mengadakan solat sunat hajat setiap kali selepas solat Jumaat.

Osman berkata semua masjid dan surau juga dikehendaki menganjurkan solat hajat dan bacaan Yasin setiap malam selepas solat Maghrib dan berdoa memohon Allah mengangkat wabak Covid-19.

“Semua imam dikehendaki membaca teks doa Qunut Nazilah dalam solat Jumaat dan berdoa mohon dijauhi wabak penyakit yang disediakan Jabatan Hal Ehwal Agama Terengganu selepas setiap kali solat hajat dan bacaan surah Yasin,” katanya.

Bagaimanapun, tambahnya, aktiviti lain di masjid dan surau tidak dibenarkan kecuali mendapat kebenaran MAIDAM.

Dalam pada itu, Harian Metro melaporkan, hanya jemaah terpilih yang sudah menerima suntikan vaksin dibenarkan solat fardhu dan solat jumaat di masjid, di Kedah, berkuat kuasa esok.

Pengarah Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Kedah (JHEAIK), Mohd Yusri Md Daud, berkata kehadiran jemaah tidak melebihi 100 orang itu tidak termasuk pegawai dan ahli jawatan kuasa masjid, membabitkan zon hijau, kuning dan jingga mengikut mukim berdasarkan peta kes harian dikeluarkan Jabatan Kesihatan Negeri (JKN) Kedah.

Katanya, bagi mukim zon merah, kehadiran jemaah dihadkan tidak melebihi 50 orang, terdiri daripada mereka sudah menerima suntikan vaksin.

“Di kawasan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) pula, hanya lima orang dibenarkan untuk menunaikan solat fardu berjemaah terdiri daripada pegawai dan jawatankuasa masjid. Bagi solat Jumaat hendaklah ditangguhkan dan diganti dengan solat Zohor di rumah.

“Jawatan kuasa masjid dan surau perlu menentukan kaedah bersesuaian dalam pemilihan ahli kariah yang layak hadir menunaikan solat Jumaat dan solat fardu berjemaah, dan memastikan jemaah terpilih sudah menerima vaksin dengan mengemukakan sijil suntikan vaksin,” katanya dipetik Harian Metro, hari ini.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.