Elak sekatan penuh untuk pemulihan ekonomi, kata pakar

Elak sekatan penuh untuk pemulihan ekonomi, kata pakar

Ahli ekonomi menyeru kerajaan agar mencari cara supaya sekatan serupa dapat dielakkan pada masa depan.

PETALING JAYA:
Ahli ekonomi menyeru agar kerajaan menamatkan perintah kawalan pergerakan (PKP) 3.0 dan mencari jalan supaya sekatan serupa dapat dielakkan pada masa depan.

Kata mereka, ini adalah langkah jangka pendek paling penting untuk memastikan negara mampu pulih daripada kelumpuhan ekonomi akibat wabak Covid-19.

Dengan sebahagian besar sektor ekonomi negara masih ditutup di bawah dua fasa pertama Pelan Pemulihan Negara (PPN), ramai yang meragui kemampuan negara untuk menunjukkan pemulihan yang bermakna tahun ini.

Pada awal tahun, pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNKK) diunjurkan antara 6% dan 7%, tetapi unjuran ini telah direndahkan sejak sekatan ketat dikenakan pada Mei.

Geoffrey Williams.

Dalam bahagian kedua siri FMT mengenai ekonomi, Geoffrey Williams dari Universiti Sains dan Teknologi Malaysia dan Carmelo Ferlito dari Pusat Pendidikan Pasaran memberi pandangan mengenai perubahan dasar jangka pendek dan sederhana yang perlu dibuat negara.

Mereka bersetuju bahawa sekatan penuh menjadi penghalang terbesar terhadap pemulihan.

“Langkah ke hadapan mestilah tamatkan PKP 3.0,” kata Williams.

“Kelumpuhan ekonomi bukan disebabkan oleh virus, tetapi oleh tindak balas dasar.

“Kita boleh harap pakej rangsangan berkesan hanya setelah PKP 3.0 berakhir. Tak boleh tekan minyak dengan satu kaki, sementara satu kaki lagi tekan brek.”

Dengan virus berpotensi menjadi endemik dan kekal dalam komuniti, katanya, kita tidak boleh bergantung pada sekatan penuh sebagai tindak balas untuk menangani Covid-19.

Ini dipersetujui Ferlito, yang telah lama mengkritik sekatan pergerakan meluas sebagai cara mengekang penularan virus.

“Risiko yang akan datang adalah pengangguran besar-besaran dan pertumbuhan ekonomi yang rata atau negatif.

“Selain itu, inflasi mungkin bermaharajalela setelah krisis Covid-19 berakhir dan ini boleh menyebabkan krisis ekonomi semata-mata,” katanya.

Carmelo Ferlito.

Beliau berkata, strategi meringankan yang membenarkan kebanyakan orang bergerak dengan bebas, sementara bidang yang dibimbangi dikendalikan melalui saringan besar-besaran, pengesanan kontak yang efisien dan pengasingan setempat akan lebih efektif.

Orang muda dan sihat seharusnya dapat membina imuniti melalui pendedahan dan hanya masyarakat paling rentan seperti warga emas, sangat memerlukan perlindungan, katanya.

Beliau berkata, kerajaan juga harus mencari alternatif vaksin untuk mengawal virus tersebut kerana varian baharu menyebabkan kita tidak dapat menangani isu terlalu bergantung pada vaksin.

“Kita perlu mengetepikan ketaksuban terhadap vaksin. Kita mesti meneroka penggunaan rawatan profilaksis dan bersifat terapi dengan cara lebih matang,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.