Henti dulu tindakan undang-undang bagi kes cuba bunuh diri, kata peguam

Henti dulu tindakan undang-undang bagi kes cuba bunuh diri, kata peguam

Peguam, M Ramachelvam, cadang kuasa eksekutif boleh laksana 'moratorium' undang-undang tanpa perlu ke Parlimen.

631 kes bunuh diri direkodkan berlaku pada 2020, manakala 609 kes sama dicatat tahun sebelumnya.
PETALING JAYA:
Kerajaan wajar menangguhkan daripada mengambil sebarang tindakan undang-undang terhadap golongan yang cuba membunuh diri, kata seorang peguam.

Bercakap pada forum dalam talian anjuran Gabungan Kebangsaan untuk Kesejahteraan Mental (NCMW), peguam, M Ramachelvam, berkata moratorium terhadap Seksyen 309 Kanun Keseksaan yang menjadikan tindakan bunuh diri sebagai satu jenayah, lebih penting lagi dalam keadaan pandemik Covid-19 sekarang yang melihat peningkatan kes seumpama itu.

Mengakui pindaan terhadap Seksyen 309 akan mengambil masa kerana perlu dibawa ke Dewan Rakyat, Dewan Negara dan seterusnya diperkenan Yang di-Pertuan Agong, beliau berkata sebaliknya moratorium boleh dilaksanakan sebagai keputusan eksekutif yang tidak perlu melalui proses Parlimen.

“Perkara itu bukan sesuatu yang sensitif secara politik dan kerajaan tidak rugi apa-apa sekiranya mengambil keputusan terbabit,” katanya.

“Malah, kerajaan pastinya dipuji sekiranya berbuat demikian.”

Ramachelvam turut menggesa kerajaan menggunakan tempoh moratorium ini untuk mengguna pakai peruntukan Seksyen 10 dan 11, Akta Kesihatan Mental 2001, yang memberi kuasa kepada polis, pegawai kebajikan sosial dan keluarga membawa individu cuba membunuh diri menjalani penilaian psikologi.

Jabatan Perdana Menteri (PMO) pada Disember lalu berkata, Pejabat Peguam Negara (PPN) mempertimbangkan untuk menghantar mereka yang cuba membunuh diri mendapatkan rawatan di kemudahan perubatan dan bukan dilayan seperti penjenayah.

PMO turut berkata, PPN sedang meneliti undang-undang berkaitan dengan cubaan membunuh diri.

Ramachelvam menambah, NCMW berharap kerajaan akan membentangkan secepat mungkin perundangan berkaitan di Parlimen supaya bunuh diri tidak lagi menjadi kesalahan jenayah, selain menarik balik semua kes yang dituduh mengikut Seksyen 309 Kanun Keseksaan.

NCMW adalah inisiatif yang dimulakan oleh Rotary Malaysia dan NGO lain, Ogos lalu, yang menyasarkan untuk menyediakan penyelesaian terhadap isu kesihatan mental jangka panjang berkait dengan Covid-19.

Minggu lalu, Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, Abd Jalil Hassan, memaklumkan 468 kes bunuh diri dicatat bagi tempoh Januari hingga Mei lalu, dengan purata tiga kes bunuh diri sehari.

Katanya, 631 kes bunuh diri direkodkan berlaku pada 2020, manakala 609 kes sama dicatat tahun sebelumnya.

Sementara itu, Pengerusi Befrienders KL, Justin Victor, berkata bagi setiap individu yang berjaya membunuh diri, seramai 20 yang lain sebenarnya turut mencuba berbuat demikian.

“Apabila kita melihat jumlah kes bunuh diri, di belakang tabir berlakunya peningkatan kes berasingan dalam cubaan mereka menamatkan riwayat masing-masing,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.