Jawatankuasa mohon moratorium 6 bulan roboh kuil tanpa kebenaran

Jawatankuasa mohon moratorium 6 bulan roboh kuil tanpa kebenaran

Jawatankuasa Pemandu Kuil Hindu Kebangsaan kata ia bagi bolehkan pengesahan, libat urus dan penyelesaian sewajarnya dibuat.

Kuil Dewi Sri Pathrakaliamman
Jawatankuasa Pemandu Kuil Hindu Kebangsaan berkata pihaknya mahu mengumpul maklumat berkaitan kuil dan dikategorikan berdasarkan status tanah mereka.
PETALING JAYA:
Jawatankuasa Pemandu Kuil Hindu Kebangsaan memohon agar kerajaan memberikan moratorium selama enam bulan bagi menangguhkan sebarang tindakan perobohan rumah ibadat yang dibina tanpa kebenaran.

Jawatankuasa itu, yang bermesyuarat buat kali pertama hari ini, berkata penangguhan itu bagi membolehkan pengesahan, libat urus dan penyelesaian sewajarnya dibuat.

“Sekiranya perobohan perlu dilaksanakan, ia hendaklah dilakukan secara beradat dan mengikut upacara keagamaan.

“Jawatankuasa ini akan menyelaras pemindahan dewa-dewi, pelaksanaan upacara keagamaan yang sewajarnya, supaya dilakukan dengan tertib dan hormat,” katanya dalam satu kenyataan.

Jawatankuasa tersebut ditubuhkan melalui inisiatif bersama Malaysia Hindu Sangam dan Malaysian Indian Congress, dengan sokongan NGO Hindu dan kumpulan masyarakat sivil.

Ia turut berkata rumah ibadat yang terlibat bukan sekadar sebuah struktur atau patung, tetapi suatu kepercayaan yang perlu dihormati dan diurus dengan penuh sensitiviti.

Dalam mesyuarat itu, jawatankuasa itu bersetuju untuk melaksanakan satu pelan tindakan komprehensif bagi menangani isu status tanah rumah ibadat.

Sebagai sebahagian daripada proses ini, kuil akan dikehendaki mengemukakan maklumat berkaitan status tanah dan pentadbiran masing-masing.

“Berdasarkan maklumat tersebut, rumah-rumah ibadat akan dikategorikan kepada empat kumpulan utama bagi memudahkan proses penyelesaian secara tersusun dan berfasa.

“Jawatankuasa kemudiannya akan turun padang untuk bertemu pengurusan rumah ibadat dan memberikan bantuan secara langsung,” katanya.

Kenyataan itu susulan isu rumah ibadat yang dibina tanpa kebenaran termasuk didakwa menceroboh tanah milik individu dan kerajaan hingga menimbulkan ketegangan.

Minggu lalu, polis menahan empat lelaki yang didakwa merobohkan sebahagian kuil di Rawang, Selangor kerana dibina di tanah milik sebuah yayasan. Sebuah jengkaut turut dirampas.

Siasatan mendapati suspek melakukan perbuatan itu tanpa berunding dengan pengurusan kuil atau memaklumkan pihak berkuasa tempatan.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.