Rempit ketika PKPD, 7 remaja bawah umur antara 31 ditahan

Rempit ketika PKPD, 7 remaja bawah umur antara 31 ditahan

Sebanyak 76 keping saman dikeluarkan atas pelbagai kesalahan lalu lintas serta 20 buah motosikal disita mengikut Seksyen 64 Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Menurut polis, semua ditahan adalah warga tempatan berusia 16 hingga 23 tahun dan siasatan mendapati tujuh daripadanya adalah remaja bawah umur. (Gambar Facebook)
SHAH ALAM:
Polis menahan 31 individu termasuk tujuh remaja bawah umur dalam Op Khas Motosikal di Jalan Sultan Alauddin, Bandar Sultan Suleiman, Pelabuhan Klang, semalam.

Ketua Polis Daerah Klang Utara Nurulhuda Mohd Salleh berkata operasi yang bermula 5.30 petang hingga 10.30 malam itu dijalankan oleh Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Klang Utara.

Beliau berkata semua yang ditahan adalah warga tempatan berusia 16 hingga 23 tahun dan siasatan mendapati tujuh daripada 31 individu terbabit adalah remaja bawah umur termasuk seorang remaja perempuan.

“Sebanyak 76 keping saman dikeluarkan atas pelbagai kesalahan lalu lintas serta 20 buah motosikal disita mengikut Seksyen 64 Akta Pengangkutan Jalan 1987.

“Kompaun turut dikenakan kepada 22 individu di bawah Peraturan 17(1) Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 kerana berkumpul di tempat awam dan keluar tanpa hala tuju,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Nurulhuda berkata pihaknya akan terus menjalankan operasi dan penguatkuasaan bagi membendung kegiatan lumba haram terutama dalam tempoh perintah kawalan pergerakan diperketatkan (PKPD).

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.