
Semalam, syarikat berkenaan mengesahkan telah menghentikan perkhidmatan sebilangan pekerja Pos Rider kerana berdepan kapasiti berlebihan.
Katanya, pekerja itu terpaksa diberhentikan kerana penurunan permintaan akibat khidmat penghantaran sendiri yang ditubuhkan pemain sektor e-dagang sepanjang tahun lalu.
Dengan ini, katanya, pihak Pos Malaysia mengambil keputusan mengurangkan program “outsourcing” Pos Rider dan mahu mengutamakan kakitangan sedia ada.
Dalam kenyataan hari ini, Pos Malaysia berkata, pekerja Pos Rider yang diberhentikan akan menjadi pilihan utama jika syarikat memerlukan pekerja sambilan dalam tempoh tertentu.
“Jumlah bungkusan lazimnya melalui peningkatan pada waktu-waktu tertentu sepanjang tahun; ini didorong oleh jualan khas oleh peruncit, musim perayaan, jualan tarikh khas (seperti 9.9 atau 11.11) dan seumpamanya.
“Ini akan membolehkan bekas ejen Pos Rider memanfaatkan lonjakan tersebut, sekaligus membantu Pos Malaysia mengekalkan kecekapan kos,” katanya.