
Baginda bertitah, langkah itu sekali gus memastikan manfaatnya benar-benar sampai kepada semua lapisan masyarakat khususnya komuniti luar bandar di Perlis.
Titahnya, pendekatan bersepadu antara agensi dan kerajaan negeri bukan sahaja merapatkan hubungan dengan rakyat, malah mengupayakan komuniti melalui peluang ekonomi, keusahawanan dan pembangunan setempat yang lebih mampan.
“Usahawan tempatan turut digalakkan untuk menyertai pelbagai inisiatif agensi bagi memantapkan pendapatan dan mengukuhkan ekonomi keluarga. Mereka juga berperanan sebagai ikon serta sumber inspirasi kepada generasi muda, khususnya usahawan belia, dalam membina jati diri, menjana pendapatan secara kreatif, serta menuju kehidupan yang lebih berdikari dan bermakna,” titahnya.
Baginda bertitah demikian ketika berkenan berangkat menyempurnakan perasmian Karnival Jualan Agro Madani peringkat negeri di Dataran Datuk Sheikh Ahmad, Kangar.
Keberangkatan tiba Baginda disambut Pengerusi Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (Fama), Aminuddin Zulkifli; Timbalan Ketua Pengarah (Khidmat Pengurusan) Fama, Shahrizan Sudiman dan Pengarah Fama Perlis, Mohd Anzara Azizan.
Tuanku Syed Faizuddin Putra berkenan menyempurnakan simbolik perasmian majlis dan menyaksikan penyerahan Geran Pembaikan Imej Fama Negeri, Geran Agropreneur Muda Fama Perlis serta Pusat Pengumpulan Ladang (PPL) Rakan Pemasaran Kontrak Pemasaran (RPKP) bernilai lebih RM200,000.
Baginda turut berkenan melawat reruai pameran dan menyantuni usahawan sebagai tanda sokongan terhadap usaha memartabatkan produk tempatan.
Karnival itu diadakan dari 20 hingga 23 Nov bermula jam 10 pagi hingga 10 malam. Penganjuran empat hari itu bertujuan memperkasa sektor agromakanan negeri serta menyediakan platform kepada usahawan tempatan untuk mempromosikan produk, selain mengukuhkan hubungan erat antara agensi dan masyarakat.
Mengangkat konsep ‘Macam-Macam Ada’, ia menampilkan pelbagai program dan aktiviti menarik antaranya perlawanan bola sepak antara Istana FC Perlis melawan Fama FC, Soccer Kid U10, Fama Fun Run 7km serta jualan agro Madani.
Pengunjung turut berpeluang memenangi hadiah menarik seperti motosikal, basikal dan gajet melalui cabutan bertuah ‘Pilihan@Bertuah – Cashless La Boss’ yang menggalakkan transaksi tanpa tunai.
Penganjuran itu dijangka menarik penyertaan besar masyarakat seterusnya merancakkan ekonomi setempat serta mempromosikan produk agromakanan Perlis secara lebih meluas.