
Saham syarikat itu jatuh sehingga 12% atau 16 sen kepada RM1.14 sebelum meningkat sedikit kepada RM1.17 menjelang rehat tengah hari.
Kira-kira lapan juta saham diniagakan setakat itu. Pada harga itu, nilai pasaran DRB-Hicom dianggarkan berjumlah RM2.28 bilion.
Dalam kenyataan kepada Bursa Malaysia semalam, syarikat itu memaklumkan ia mencatat kerugian bersih sebanyak RM15.2 juta bagi suku ketiga berakhir 30 September.
Namun begitu, hasil (pendapatan) suku tahunan meningkat 8.6% kepada RM4.49 bilion berbanding RM4.13 bilion pada tempoh sama tahun lalu.
Peningkatan ini didorong oleh prestasi lebih baik dalam segmen automotif, hartanah, perbankan dan perkhidmatan.
Bagi tempoh sembilan bulan pertama tahun ini, keuntungan bersih syarikat susut 12% kepada RM60.62 juta berbanding RM69.17 juta sebelum ini, ekoran pendapatan yang lebih rendah daripada sektor aeroangkasa dan pertahanan, pos serta hartanah.
Namun, jumlah hasil meningkat kepada RM12.74 bilion berbanding RM12.23 bilion sebelum ini.
Pada suku sebelumnya, DRB-Hicom mencatat keuntungan bersih RM58.1 juta, iaitu suku kedua berturut-turut berada dalam zon untung selepas sebelum itu mengalami kerugian.
DRB-Hicom menjangkakan prospek perniagaan sepanjang tahun ini berada pada tahap “sederhana” disebabkan faktor luaran yang memberi tekanan kepada prestasi keseluruhan syarikat dan industri, terutama menjelang hujung tahun 2025.
Bagaimanapun, syarikat menjangka momentum positif dalam perniagaan automotif akan berterusan, disokong keyakinan pengguna yang tinggi terhadap jenama kenderaan elektrik (EV) miliknya, selepas pelancaran Proton e.MAS 5 serta kejayaan model e.MAS 7 sebagai EV paling laris di Malaysia.
DRB-Hicom memiliki 50.1% saham dalam Proton, manakala baki 49.9% dipegang oleh syarikat China, Zhejiang Geely Holding Group.
Susulan kenaikan harga saham sebelum ini, Hong Leong Investment Bank (HLIB) dan Public Investment Bank (PublicInvest) telah menurunkan saranan pelaburan mereka terhadap DRB-Hicom daripada ‘beli’ kepada ‘jual’.
Daripada empat firma penyelidikan membuat liputan terhadap saham ini, hanya Citi Research masih mengekalkan saranan ‘beli’.
HLIB berkata ia kekal berhati-hati terhadap persekitaran pasaran automotif Malaysia yang sangat kompetitif, sambil menambah segmen pos dan pertahanan terus membebankan prestasi kumpulan itu.
PublicInvest pula memberi amaran kemasukan jenama kereta China yang lebih murah akan meningkatkan persaingan, sekali gus menekan margin keuntungan dan mengehadkan pertumbuhan pendapatan.
Menurut Bloomberg, purata harga sasaran saham DRB-Hicom ialah 97 sen, menunjukkan potensi kejatuhan sehingga 16% dalam tempoh 12 bulan akan datang berbanding harga semasa.
Syed Mokhtar Albukhary memiliki 55.9% pegangan dalam DRB-Hicom melalui syarikatnya, Etika Strategi Sdn Bhd, setakat 28 Mac 2025, menurut laporan tahunan syarikat bagi tahun 2024.