
Ketua Polis Daerah Jeli, Ahmad Arifin berkata, pemilik kafe itu hadir memberi keterangan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Jeli petang semalam, sebaik menerima gambar tular yang menunjukkan kehadiran Mustapa di kafe tersebut.
“Selain pemilik kafe tersebut, polis akan turut memanggil tiga lagi individu (termasuk Mustapa) dalam masa terdekat untuk membantu siasatan.
“Kes disiasat mengikut Seksyen 269 Kanun Keseksaan dan Peraturan 17(1) Peraturan-peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (PPPPB) (Langkah-langkah Di Dalam Kawasan Tempatan Jangkitan) 2021,” katanya ketika dihubungi Bernama.
Semalam, Mustapa yang juga Ahli Parlimen Jeli memohon maaf atas pelanggaran SOP itu dan menyerahkan kepada pihak polis untuk mengambil tindakan sewajarnya.
Sementara itu, pemilik AlFath Cafe Abdul Syafizi Sallah, 26, ketika dihubungi menjelaskan Mustapa datang ke premisnya bertujuan melihat bagaimana dia berjaya menggunakan sepenuhnya media sosial dalam perniagaannya.
Abdul Syafizi berkata, beliau adalah usahawan MyDigital di Jeli yang menerima bimbingan sejak hujung tahun lepas dengan kaedah terbaik untuk menjalankan serta memasarkan menu kafenya dalam tempoh pandemik Covid-19.
“Sebagai usahawan MyDigital, beliau datang ke kafe saya Sabtu lepas untuk melihat kejayaan program yang telah membantu perniagaan saya. Beliau sangat tertarik melihat jualan kafe saya agak baik berbanding peserta lain.
“Berkenaan makanan yang dihidangkan, itu sebenarnya persembahan menu yang ada di kafe tersebut, saya tunjukkan apa yang saya jual di kafe itu kepada beliau. Beliau sendiri hanya berada di kafe kira-kira 10 minit sebelum beredar,” katanya.
Abdul Syafizi turut menjelaskan dalam tempoh Fasa 1 kawalan pergerakan dalam Pelan Pemulihan Negara, kafenya itu dibuka untuk pembelian secara bungkus sahaja.