
Ini menunjukkan semakin ramai individu kini berada dalam keadaan terdesak dan buntu dengan kehidupan mereka dan semakin ramai pemanggil mengadu mengenai kehilangan pekerjaan, tekanan kewangan malah menyatakan keinginan untuk membunuh diri.
Ardy Ayadali, pengarah publisiti Befrienders KL memberitahu FMT, lebih ramai orang mengadu tentang pekerjaan dan masalah kewangan, terutamanya ketika pelaksanaan perintah kawalan pergerakan (PKP) 3.0.
“Sebab (masalah) utama mengapa orang buat panggilan kepada kami masih sama. Sebilangan besar aduan adalah berkenaan kesihatan mental. Kedua, hubungan dan yang ketiga masalah keluarga. Tetapi kami lihat aduan lebih banyak berkaitan kewangan dan pekerjaan.
“Saya rasa wabak ini memainkan peranan besar kerana ia menimbulkan reaksi berantai dengan ramai kehilangan pendapatan dan tidak dapat membayar bil mereka. Mereka tidak dapat menangani tekanan,” katanya.
Sementara itu beliau berkata, mereka yang melaporkan keinginan untuk membunuh diri juga meningkat sebanyak 10% setakat Mei.
“Secara purata, satu daripada tiga pemanggil menyatakan niat membunuh diri, iaitu sekitar 30%. Tahun ini kita dapati jumlahnya hampir sekitar 40%,” katanya.
Keinginan untuk membunuh diri dapat dikenal pasti apabila pemanggil menyatakan niat untuk mengakhiri hidup mereka semasa sesi telekaunseling.
Ardy berkata, sukarelawan Befrienders kemudian akan menilai tahap keparahan atau risiko bunuh diri mereka dengan bertanya soalan susulan. Namun mereka tidak dilatih untuk memberi nasihat profesional.
Katanya, perkara itu dilihat membimbangkan kerana statistik sebenar orang yang ingin membunuh diri mungkin lebih tinggi dan kes sedemikian baru-baru ini banyak dilaporkan media.
Tambah Ardy, walaupun isu itu sebelum ini mendapat campur tangan yang baik daripada kerajaan, keutamaan kerajaan sekarang adalah lebih kepada memerangi situasi Covid-19 yang semakin memburuk.
“Ini sangat berbahaya kerana masalah kesihatan mental perlu ditangani lebih awal,” katanya.
Beliau menjangka pertambahan orang yang akan mendapatkan pertolongan berhubung masalah kemurungan, keresahan dan tekanan pada tahun depan.
“Bila sampai masa kita beri perhatian (pada isu ini), mungkin sudah terlambat. Sekarang pun pakar psikiatri dan psikologi tidak cukup. Tahun depan mungkin lebih ramai memerlukan bantuan perubatan untuk masalah kesihatan mental tetapi mungkin tidak ada pakar kesihatan mental yang boleh diakses untuk menolong mereka.”
Kebimbangan terhadap peningkatan kes bunuh diri turut mendapat perhatian sebilangan Ahli Parlimen antaranya Jalaluddin Alias (Jelebu), Lim Guan Eng (Bagan) dan Najib Razak (Pekan).