Pengurus Techauz.com, Zakaria Zarkasi berkata, ketika murid dikehendaki meneruskan Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR) sementara ibu bapa pula perlu bekerja dari rumah (BdR) sepanjang tempoh berkenaan, sektor IT seharusnya dikategorikan sebagai keperluan asas paling utama, namun perkara itu tidak berlaku.
“Saya keliru mengapa kerajaan kata kami ‘bukan essential’ (perkhidmatan perlu). Kita semua tahu IT adalah perkhidmatan paling utama untuk sokong anak-anak menjalani PdPR.
“Kalau sokongan teknikal tiada, semua kerja sudah pastinya akan tergendala,” katanya kepada FMT.
Justeru pihaknya mahu kerajaan membenarkan sektor IT dibuka segera bagi membolehkan masalah berkaitan peranti diselesaikan secepat mungkin bagi menyokong PdPR dan BdR.
Walaupun pihaknya ada menawarkan konsultansi membaiki peranti secara dalam talian, namun Zakaria berkata, bukan semua masalah membabitkan alat ganti atau perisian boleh diselesaikan.

“Sebagai pakar bidang IT, kami cuba sedaya upaya untuk bantu ibu bapa yang ada masalah membabitkan peranti mereka tetapi majoriti masih tak mampu selesaikan masalah itu kerana memerlukan kepakaran yang lebih terperinci.
“Kami kecewa kerana bukan saja tak boleh buat kerja (perkhidmatan membaiki) tetapi tidak boleh tolong orang lain yang perlukan bantuan secepat mungkin,” katanya yang menerima banyak aduan daripada ibu bapa kerana kedai membaiki komputer tidak dibuka ketika PKP.
Sementara itu, Firdaus Al Musanna Ahmad yang menjalankan perkhidmatan membaiki peranti dalam talian sepenuh masa berkata, penutupan kedai alat ganti IT menyukarkan pihaknya membantu orang ramai yang memerlukan perkhidmatan membaiki komputer riba pada kadar segera.
Walaupun alat ganti berkenaan boleh dibeli dalam talian, namun beliau berkata, masalah yang timbul adalah penghantaran yang lewat menyebabkan proses membaiki peranti pelanggannya mengambil masa sehingga dua minggu berbanding hanya dua atau tiga hari pada waktu biasa.
“Ada pelanggan yang sanggup kirim komputer riba mereka dari Kelantan, Terengganu … memang kita boleh baiki tapi ambil masa agak lama kerana alat ganti semua kena beli secara dalam talian,” katanya yang beroperasi di sekitar Kuala Lumpur.

Justeru beliau merayu supaya sektor IT diberi kelonggaran untuk beroperasi dalam tempoh kritikal ini.
“Kalau boleh, beri kelonggaran untuk kami beroperasi tetapi dengan prosedur operasi standard (SOP) yang sangat ketat.
“Kasihan murid-murid yang perlu PdPR, ibu bapa yang bekerja dari rumah, semua kerja mereka tergendala kerana tiada sokongan teknikal,” katanya.
Sementara itu, kakitangan kerajaan, Azmi Sukene kecewa kerana selain kedai alat tulis dan kedai buku tidak dibenarkan beroperasi, sebagai bapa kepada tiga anak yang perlu mengawasi anak menjalani PdPR setiap hari, beliau hilang “punca” selepas komputer ribanya rosak sejak tiga hari lalu.
“Sudah beberapa hari saya cuba hubungi kedai membaiki ‘laptop’ namun masih gagal kerana mereka mendakwa tidak dibenarkan beroperasi sepanjang PKP.
“Takkan saya perlu tunggu hingga habis PKP baru boleh baiki ‘laptop’ saya? Anak-anak juga terpaksa ‘skip’ beberapa kelas dalam talian kerana perlu berkongsi telefon mudah alih sesama mereka,” katanya kepada FMT sambil menambah bahawa peraturan itu “melecehkan”.
Terdahulu Ahli Parlimen Muar Syed Saddiq Syed Abdul Rahman berkongsi ciapan di Twitter mengenai aduan orang ramai yang keliru mengapa kedai komputer tidak dibuka sepanjang PKP.
“Tak faham kenapa kedai komputer tidak boleh buka waktu PKP. Dah la orang WFH (bekerja dari rumah) dan PdPR.
“Kalau laptop/PC problem nak hantar mana? Kedai tomyam ke?”soalnya.
Ciapan itu mendapat lebih 40,000 tanda suka dan 30,000 ulang kicau oleh pengguna Twitter dengan majoriti mereka berkongsi aduan kerosakan komputer riba masing-masing.
Semalam, Persatuan Penjual Buku Malaysia mempersoalkan tindakan kerajaan yang masih tidak membenarkan sektor itu beroperasi walaupun PdPR dimulakan semula sejak 13 Jun.