Guru mengaku tak salah 11 tuduhan amang seksual murid

Guru mengaku tak salah 11 tuduhan amang seksual murid

Mohamad Sulong didakwa melakukan perbuatan itu terhadap sembilan murid lelaki pada April 2024 hingga Julai lalu.

mahkamah kota bharu
Tertuduh, Mohamad Sulong, 52, mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Kota Bharu terhadap 11 pertuduhan melakukan amang seksual terhadap sembilan murid lelaki.
PETALING JAYA:
Seorang guru dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Kota Bharu hari ini atas 11 pertuduhan melakukan amang seksual fizikal, meliwat dan melakukan persetubuhan bertentangan aturan tabii terhadap sembilan murid lelaki, pada April 2024 hingga Julai lalu.

Bagaimanapun, tertuduh, Mohamad Sulong, 52, mengaku tidak bersalah selepas kesemua pertuduhan dibacakan jurubahasa di hadapan Hakim Tengku Shahrizan Tuan Lah, menurut Berita Harian.

Berdasarkan tujuh pertuduhan, dia didakwa dengan maksud seksual melakukan amang seksual fizikal terhadap tujuh kanak-kanak lelaki berusia lingkungan lapan hingga 12 tahun.

Perbuatan itu dilakukan di sebuah rumah di Kampung Beris Panchor, Tawang dekat Bachok, di bilik koperasi, bilik pengurusan sukan dan bilik makmal komputer sebuah sekolah di sini pada April 2024 hingga 1 Julai lalu.

Dakwaan dikemukakan mengikut Seksyen 14(a) Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 14 akta sama dibaca bersama Seksyen 16(1) akta itu yang boleh dipenjara sehingga 20 tahun dan sebat jika disabitkan kesalahan.

Mengikut dua lagi pertuduhan, dia didakwa melakukan amang seksual fizikal dengan meliwat dua kanak-kanak lelaki berusia sembilan dan 11 tahun di kedai koperasi sebuah sekolah di sini, kira-kira jam 9.45 pagi pertengahan 2024 dan 4.30 petang pada Julai 2024.

Dakwaan dibuat mengikut Seksyen 14(d) Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017 dan boleh dihukum di bawah seksyen 14 akta sama dibaca bersama Seksyen 16(1) akta itu yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan sebat.

Dia turut didakwa atas dua pertuduhan melakukan persetubuhan bertentangan dengan aturan tabii terhadap seorang kanak-kanak lelaki berusia 11 tahun empat bulan di bilik pengurusan sukan sebuah sekolah di sini, kira-kira 5 petang pada Februari dan Mei lalu.

Dakwaan mengikut Seksyen 377A Kanun Keseksaan (KK) dan boleh dihukum di bawah seksyen 377B KK dibaca bersama Seksyen 16(1) Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017 yang membawa hukuman penjara sehingga 20 tahun dan sebat, jika disabitkan kesalahan.

Timbalan Pendakwa Raya Siti Hajar Mazlan mengendalikan pendakwaan manakala tertuduh diwakili peguam Firdaus Zainal Abidin.

Terdahulu, Siti Hajar tidak mencadangkan jaminan kerana 11 pertuduhan membabitkan sembilan mangsa yang berusia lapan hingga 12 tahun.

Firdaus bagaimanapun memohon jaminan yang munasabah dengan syarat-syarat yang ketat supaya tertuduh dapat kembali bertugas sebagai penjawat awam tanpa sebarang kekangan.

Katanya, anak guamnya yang masih bujang juga sudah berkhidmat sebagai guru selama 17 tahun dan telah dipindahkan ke sebuah jabatan di Kota Bharu selepas menjalani tempoh reman dua minggu, Julai lalu.

Mahkamah kemudian membenarkan jaminan RM55,000 dengan seorang penjamin bagi semua pertuduhan bersama syarat tambahan iaitu menyerahkan pasport kepada mahkamah, dilarang mengganggu mangsa atau saksi pendakwaan serta perlu melapor diri sebulan sekali di balai polis terdekat.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.