
Beliau berkata inisiatif tersebut bertujuan memastikan penglibatan ibu bapa dalam menjayakan kurikulum yang disemak semula itu.
“Dalam kurikulum baharu ini, kita ada satu ruang penglibatan khusus ibu bapa untuk baca bersama anak,” katanya di majlis Kota Buku, malam tadi.
Fadhlina menjelaskan inisiatif tersebut, yang merupakan sebahagian daripada komitmen kementerian memupuk minat membaca dari usia awal, mendapat sokongan penuh daripada Perbadanan Kota Buku dan rakan strategik yang lain.
Beliau berkata literasi dan budaya membaca mesti ditekankan di semua peringkat bagi melahirkan generasi yang mempunyai pemikiran kritis serta pemahaman mendalam.
Fadhlina menambah amalan membaca buku mesti terus diperkukuh melalui inisiatif seperti Nilam (Nadi Ilmu Amalan Membaca), iaitu program membaca kebangsaan untuk memupuk tabiat membaca dalam kalangan murid.
Kurikulum Persekolahan 2027 (KP2027) dilaporkan akan membawa pembaharuan besar kepada ekosistem pendidikan negara, dengan tumpuan diberikan kepada pembentukan karakter dan pembudayaan ilmu bermula di peringkat awal persekolahan.
Pada 8 Dis lalu, Ketua Pengarah Pendidikan Azam Ahmad berkata pelajar akan dibimbing untuk menyeimbangkan antara pencapaian akademik dan sahsiah.