
Beliau berkata, ini setelah Jabatan Perkhidmatan Veterinar (JPV) mengambil kira permintaan masjid, surau dan rumah sembelihan sempena perayaan itu yang dianggarkan sebanyak 39,172 ekor bagi lembu dan kerbau, manakala 21,949 ekor bagi kambing dan bebiri.
Mengikut statistik JPV setakat 31 Mei, katanya, stok keseluruhan bekalan lembu dan kerbau adalah 43,842 ekor, dengan ternakan lembu atau kerbau bagi pasaran tempatan untuk penyembelihan korban sebanyak 33,650 ekor, manakala ternakan diimport adalah 10,192 ekor.
“Sementara bekalan ternakan kambing atau bebiri bagi pasaran tempatan untuk penyembelihan hari raya korban sehingga Mei lepas, adalah 24,316 ekor dan bekalan diimport dan bersedia untuk penyembelihan korban adalah sebanyak 8,857 ekor, menjadikan keseluruhan bekalan ternakan itu sebanyak 33,173 ekor,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas lawatan dan tinjauan di Kompleks Abatoir Kota Bharu yang terletak di Pengkalan Chepa, semalam. Turut hadir Timbalan Pengarah JPV negeri Dr Syarifah Asiah Mohd Amin.
Dalam perkembangan sama, sebanyak 27 rumah sembelihan JPV di seluruh Semenanjung Malaysia sedia untuk beroperasi dan 10 daripada rumah sembelihan berkenaan telah memenuhi syarat Export Supply Chain Assurance System (ESCAS) bagi tujuan penyembelihan ternakan dari Australia.
“Di samping itu, JPV telah mengeluarkan lesen kepada 35 rumah sembelihan swasta di seluruh Semenanjung Malaysia yang boleh memberi perkhidmatan penyembelihan bagi tujuan korban,” katanya.
Che Abdullah turut memberitahu seramai 20,376 penternak lembu, kerbau (1,454), kambing (7,627) dan bebiri (1,421) berdaftar dengan MAFI setakat ini.