Kereta hanyut, warga emas korban banjir kedua di Kelantan

Kereta hanyut, warga emas korban banjir kedua di Kelantan

Siti Gayah Zakaria ditemui lemas tidak jauh dari lokasi kejadian, manakala anaknya dilaporkan selamat.

Proton Saga FLX yang dinaiki dua beranak dihanyutkan arus deras di Kampung Batu Lima, Jalan Jedok, Tanah Merah. (Gambar JBPM)
PETALING JAYA:
Seorang warga emas menjadi korban banjir kedua di Kelantan selepas kereta dinaikinya dihanyutkan arus deras di Kampung Batu Lima, Jalan Jedok, Tanah Merah.

Siti Gayah Zakaria, 70, ditemui lemas tidak jauh dari lokasi kejadian, manakala anaknya Shamila Suzie Ahmad Basharuddin, 48, dilaporkan selamat.

Komander Operasi dari Balai Bomba dan Penyelamat Tanah Merah, Azhari Mamat, berkata pihaknya menerima panggilan kecemasan kira-kira 4.13 pagi tadi memaklumkan sebuah Proton Saga FLX dihanyutkan arus deras, sebelum tersangkut di pembetung air.

“Terdapat dua mangsa yang merupakan anak-beranak dalam kereta terbabit, yang mana salah seorang daripadanya terselamat,” katanya menurut Sinar Harian.

Beliau berkata, seorang lagi mangsa warga emas hanyut dibawa arus.

Menurutnya, mangsa dijumpai dalam keadaan tidak sedarkan diri oleh anggota penyelamat tidak jauh dari lokasi dia hilang.

“Mangsa dibawa ke tempat selamat dan seterusnya diserahkan ke pihak polis untuk tindakan lanjut.”

Terdahulu, seorang warga Indonesia ditemui lemas selepas Toyota Hilux dinaikinya bersama majikan dan isteri dihanyutkan arus deras akibat kepala air di Kampung Pulai, Gua Musang, Khamis lalu.

Mayat Yeni Susilowati, 39, ditemui orang awam pada 4.15 pagi Jumaat lalu di kawasan tebing sungai kira-kira 1km dari tempat kejadian.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.