16 maut kebakaran gudang kimia, kilang pakaian di Bangladesh

16 maut kebakaran gudang kimia, kilang pakaian di Bangladesh

Laporan awal sebelum ini menyebut kebakaran itu meragut sembilan nyawa dan mencederakan beberapa yang lain dengan serius.

Ahli keluarga memegang gambar orang hilang di unit kecemasan Hospital Kolej Perubatan Dhaka di Bangladesh pada Selasa. (Gambar EPA Images)
DHAKA:
Sekurang-kurangnya 16 terbunuh dalam kebakaran dahsyat memusnahkan sebuah kilang pakaian dan gudang bahan kimia di ibu negara Bangladesh, lapor Xinhua.

Laporan awal sebelum ini menyebut kebakaran itu meragut sembilan nyawa dan mencederakan beberapa yang lain dengan serius.

Menurut laporan media tempatan, kedua-dua bangunan itu terletak bersebelahan di depan Universiti Perniagaan dan Teknologi Bangladesh di Dhaka.

“Sebanyak 12 mayat dibawa ke Hospital Kolej Perubatan Dhaka serta Institut Kebangsaan Pembedahan Melecur dan Pembedahan Plastik di Dhaka,” kata Pegawai Bahagian Media Ibu Pejabat Perkhidmatan Bomba di Dhaka, Talha Bin Jashim kepada Xinhua.

Sekurang-kurangnya 12 jentera bomba terbabit operasi memadam kebakaran yang dilaporkan berlaku sekitar 11.40 pagi Selasa.

Menurut pegawai itu, kebakaran di kilang pakaian setinggi tujuh tingkat itu bermula di tingkat tiga dan sebahagian besarnya berjaya dipadamkan.

Bagaimanapun, beliau berkata, anggota bomba masih berusaha mengawal sepenuhnya kebakaran di gudang bahan kimia yang menyimpan bahan berbahaya, termasuk serbuk peluntur, plastik dan hidrogen peroksida.

Seorang lagi pegawai bomba yang enggan dikenali memberi amaran angka korban mungkin terus meningkat.

Punca kebakaran belum dikenal pasti.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.