
Namun, Datuk Bandar Majlis Bandaraya Subang Jaya (MBSJ) Noraini Roslan, yang disahkan positif baru-baru ini, menganggap beliau bertuah kerana telah divaksin.
“Suami saya terdedah kepada kes positif di pejabatnya dan saya dijangkiti daripada dia. Saya tidak mengalami gejala Covid-19 yang serius kerana telah mendapat vaksin.
“Ia membantu saya meneruskan kehidupan seharian tanpa masalah berat,” katanya, menurut buletin komuniti SJ Echo.
Noraini, yang sedang menjalani kuarantin di rumah, meminta penduduk mematuhi semua prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan oleh pihak berkuasa kesihatan untuk mengelak dijangkiti.
“Walaupun saya sudah menerima vaksin lengkap, saya masih rentan terhadap jangkitan. Ini menunjukkan kita perlu lebih berhati-hati dalam kehidupan seharian untuk mengelak (dijangkiti).
“Jangan satu saat pun fikir anda tidak boleh dijangkiti,” katanya.
Noraini, yang menerima banyak mesej di media sosial bertanyakan kesihatannya, meyakinkan penduduk Subang Jaya bahawa beliau sedang pulih di rumah dan berada dalam keadaan baik.
“Saya baik-baik saja di rumah, sedang pulih. Saya masih berhubung dengan pejabat dan saya boleh dihubungi oleh pengarah dan pegawai saya di MBSJ,” katanya.
Beliau berkata, mematuhi semua SOP membantu mereka yang mempunyai kontak rapat dengan pesakit Covid-19, sambil menambah, semua individu yang mempunyai kontak rapat dengannya tidak dikesan positif.
“Oleh itu, pakai pelitup muka, cuci tangan dan elakkan berada di tempat yang sesak,” tambahnya.