Usaha diambil untuk selesai isu lif kondo rosak, kata ejen pengurusan

Usaha diambil untuk selesai isu lif kondo rosak, kata ejen pengurusan

Knight Frank berkata, masalah lif rosak di Kondominium Five Stones berlaku lama sebelum ia mengambil alih pengurusan hartanah itu.

Menurut penduduk, lif di kondominium mewah Five Stones rosak lebih ’empat kali seminggu’.
PETALING JAYA:
Ejen pengurusan hartanah, Knight Frank (KF) berkata, masalah lif di sebuah kondominium mewah wujud sekian lama sebelum ia mengambil alih pengurusan itu.

Pengarah urusannya Sarkunan Subramaniam berkata, hartanah tersebut “diserahkan” kepada badan pengurusan bersama (JMB) itu pada pertengahan Mei 2016.

KF katanya, dilantik secara rasmi pada 1 Jun 2016.

Sarkunan berkata, KF tiada kaitan dengan pemasangan dan penyelenggaraan lif sebelum itu.

Katanya, mereka mengurus bangunan berkenaan dan mengawasi kontraktor penyelenggaraan lif “untuk memastikan mereka menyelenggara lif itu” tetapi KF tidak menyelenggara lif berkenaan sendiri.

“Walaupun penyelenggaraan dilakukan mengikut jadual, lif itu mengalami kerosakan secara berkala sejak kami ambil alih,” katanya dalam kenyataan.

Sarkunan berkata, lif tersebut dipasang dan diselenggara oleh syarikat lain tetapi enggan mendedahkan namanya atas nasihat undang-undang.

“Kami di Knight Frank bekerja tanpa mengenal penat dengan JMB dan syarikat pengurusan (MC) untuk cuba menyelesaikan isu kerosakan lif. Ini bukan disebabkan pengurusan lemah oleh kami.”

Katanya, mereka bekerjasama dengan MC sedia ada untuk mengenal pasti dan melantik kontraktor penyelenggaraan lif baharu “bagi memastikan kesulitan yang dihadapi pemilik dan penduduk 5 Stones diringankan”.

FMT sebelum ini melaporkan mengenai kerosakan lif yang kerap berlaku di Kondominium Five Stones.

Lif itu menurut penduduk, rosak lebih “empat kali seminggu”.

Tetapi pemajunya Selangor Dredging Bhd berkata, ia memastikan semuanya dalam keadaan baik ketika menyerahkannya kepada KF pada 2016.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.