
Jumlah itu direkodkan dalam keputusan kewangan tidak diaduit bagi tahun kewangan berakhir 31 Dis 2024.

Menteri Kewangan Sabah, Masidi Manjun, berkata prestasi baik itu hasil pengoptimuman aset secara strategik, pengurusan kos berdisiplin dan pertumbuhan hasil untuk berdepan pasaran tenaga global tidak menentu.
Lonjakan itu turut dipacu sumbangan kukuh daripada aset utama termasuk Kontrak Perkongsian Pengeluaran (PSC) Samarang dan loji pencairan LNG Train 9.
Petronas Chemical Fertilizer Sabah Sdn Bhd (PCFSSB), operasi Floating Production & Storage (FPSO) dan Floating Storage Operation (FSO) dikendalikan Sabah International Petroleum (SIP) yang bebas hutang.
Masidi yang juga pengerusi SMJ Energy turut memuji dedikasi pasukan profesional syarikat serta kerjasama erat bersama pihak berkepentingan utama termasuk Petronas sebagai faktor utama kejayaan itu.
“Dengan portfolio seimbang merangkumi sektor huluan, LNG, petrokimia, serta FPSO/FSO, kedudukan kewangan SMJ Energy dijangka terus kukuh walaupun dalam senario harga minyak dunia turun,” katanya dalam kenyataan.
Namun, beliau mengingatkan anak syarikat kerajaan Sabah itu terus berwaspada terhadap persekitaran luar seperti perang tarif global yang berlarutan dan ketidaktentuan harga minyak.
“Kecairan dalam pasaran minyak dunia menyerlahkan keperluan untuk mengekalkan pendekatan pengurusan risiko yang proaktif dan strategi pelaburan berhemah,” katanya.
SMJ Energy turut giat menyokong usaha kerajaan negeri meningkatkan penglibatan kandungan tempatan dalam sektor perkhidmatan dan peralatan minyak dan gas (OGSE) tanpa menjejaskan kos, keselamatan, kualiti dan jadual projek.
Nilai keseluruhan kerja dianugerahkan kepada syarikat tempatan di Sabah mencecah RM2 bilion tahun lalu berbanding hanya RM613 juta pada 2021.