
Beliau menegaskan, tiada perlindungan akan diberikan kepada mana-mana pengurusan bangunan yang didapati cuai, lalai atau gagal melaksanakan tanggungjawab keselamatan.
“Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) telah menghantar surat rasmi kepada badan pengurusan bangunan berkenaan bagi mendapatkan maklum balas serta laporan berkaitan insiden, termasuk aspek pematuhan terhadap keperluan keselamatan asas.
“Sekiranya wujud pelanggaran di bawah mana-mana peruntukan undang-undang sedia ada, tindakan boleh diambil mengikut bidang kuasa akta berkaitan,” katanya kepada FMT.
Zaliha berkata, meskipun Akta Pengurusan Strata 2013 (Akta 757) di luar bidang kuasa kementeriannya, tetapi beliau turut mengarahkan DBKL untuk mengemukakan maklum balas khususnya bagi memperkukuh tindakan penguatkuasaan serta menilai semula tahap hukuman.
“Saya difahamkan Akta 757 bawah bidang kuasa Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) sedang dalam proses penilaian dan penambahbaikan,” katanya.
“Walau apapun kerangka undang-undang, tanggungjawab utama tetap terletak pada badan pengurusan bangunan untuk memastikan keselamatan dan kesejahteraan penghuni sentiasa menjadi keutamaan.”
Kelmarin, FMT melaporkan Ahli Parlimen Seputeh Teresa Kok menyeru DBKL mengambil tindakan tegas terhadap pengurusan bangunan yang gagal menyelenggara sistem keselamatan kebakaran, berikutan insiden kebakaran di tingkat 26 sebuah kondominium di Mont Kiara, Kuala Lumpur pada 10 Dis lepas.
Menurut Bomba Kuala Lumpur, operasi pemadaman berdepan kesukaran kerana sistem pencegah kebakaran bangunan tidak berfungsi dengan baik.