Hajiji mahu pengurusan GLC, badan berkanun serah laporan setiap 3 bulan

Hajiji mahu pengurusan GLC, badan berkanun serah laporan setiap 3 bulan

Hajiji Noor berkata inisiatif itu untuk memastikan kerajaan menerima maklumat tepat pada masanya termasuk kemajuan projek.

Hajiji Noor
Hajiji Noor menegaskan pengurusan yang gagal kemuka laporan dan capai KPI akan disemak kedudukannya termasuk ditukar atau tamat perkhidmatan.
PETALING JAYA:
Semua pengurusan syarikat berkaitan kerajaan (GLC) serta badan berkanun di Sabah diarahkan mengemukakan laporan prestasi bertulis setiap tiga bulan terus kepada Ketua Menteri Hajiji Noor mulai tahun depan.

Hajiji berkata inisiatif itu bertujuan memastikan kerajaan menerima maklumat tepat pada masanya berhubung kemajuan projek, kedudukan kewangan, keberkesanan perkhidmatan dan pencapaian masing-masing.

“Langkah ini penting untuk memantau prestasi setiap entiti,” katanya dalam kenyataan dikeluarkan selepas mempengerusikan mesyuarat Kabinet.

Hajiji menegaskan ketua pegawai eksekutif (CEO), pengurus besar kumpulan (GGM) dan pengurus besar (GM) yang gagal mengemukakan laporan, tidak mencapai Indeks Prestasi Utama (KPI) atau tidak menunjukkan prestasi yang memuaskan akan disemak kedudukannya, termasuk ditukar atau ditamatkan perkhidmatan

Beliau menggesa semua CEO, GGM dan GM untuk menetapkan KPI yang jelas dan terukur selaras dengan mandat organisasi masing-masing.

“Semua projek, inisiatif, program dan perbelanjaan mesti mematuhi piawaian tadbir urus profesional, termasuk integriti kewangan, ketelusan pelaksanaan dan akauntabiliti kepada
rakyat,” tegasnya.

Sambil mengakui setiap GLC dan badan berkanun di Sabah mempunyai objektif berbeza dengan ada berorientasikan keuntungan dan perkhidmatan sosial, Hajiji menegaskan semua entiti tetap bertanggungjawab menunjukkan tahap komitmen, kecekapan dan integriti tinggi.

“Setiap CEO, GGM dan GM yang dilantik mesti menyumbang secara bertanggungjawab, seperti yang diharapkan oleh rakyat dan kerajaan, bagi membantu memajukan Sabah.

“Dengan pemantauan yang lebih teratur dan pengurusan yang lebih bertanggungjawab, agenda Sabah Maju Jaya 2.0 dapat dilaksanakan dengan lebih berkesan serta memberi manfaat secara langsung kepada rakyat Sabah,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.