Kondo mewah jadi ‘markas rahsia’, dadah hampir RM1 juta dirampas

Kondo mewah jadi ‘markas rahsia’, dadah hampir RM1 juta dirampas

Polis turut menahan seorang lelaki tempatan 23 tahun disyaki dalang utama sindiket dadah itu.

Jauteh Dikun
Pesuruhjaya Polis Sabah Jauteh Dikun berkata siasatan awal mendapati bekalan dadah itu dibawa ke Sabah menggunakan laluan udara sebelum diseludup ke negara jiran. (Gambar Bernama)
PETALING JAYA:
Polis menyerbu dua unit kondominium mewah di Kota Kinabalu, Sabah yang dipercayai dijadikan ‘markas rahsia’ sindiket serta merampas lebih 20kg dadah dianggarkan bernilai hampir RM1 juta.

Sindiket menyewa dua kondominium mewah terletak di Jalan Haji Saman dan Jesselton itu untuk menyimpan syabu, ketamin serta pil ekstasi disasarkan bagi pasaran dalam dan luar negara.

Pesuruhjaya Polis Sabah, Jauteh Dikun, berkata sepasukan anggota dari Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik IPD Kota Kinabalu menyerbu satu unit kondominium itu kira-kira 7.45 malam 4 Julai lalu dan menahan seorang lelaki tempatan 23 tahun disyaki dalang utama sindiket terbabit.

Menurutnya, pemeriksaan lanjut dalam bilik kondominium itu menemui sebuah beg mengandungi plastik lutsinar disyaki berisi syabu seberat 790.56g, selain mesin mengira wang, alat penimbang digital dan peralatan membungkus dadah.

Beliau berkata, dua peket plastik berisi ketamin seberat 14.14g ditemui dalam serbuan ke atas sebuah lagi kondominium mewah keesokannya.

“Suspek kemudian membawa pasukan serbuan ke sebuah Toyota Yaris yang ditinggalkan dalam keadaan berkunci di kawasan letak kereta awam dekat Sabah Art Gallery Outdoor Artspace,” katanya menurut harian Metro selepas perhimpunan bulanan IPK Sabah di Kota Kinabalu.

Jauteh berkata, sebuah kotak mengandungi 12.7kg syabu ditemui hasil pemeriksaan dalam kereta itu.

“Turut dirampas ketamin seberat 6.9kg, 25 peket jus ekstasi dan 10 biji pil ekstasi. Jumlah rampasan dadah dianggarkan bernilai RM960,000,” katanya sambil menambah dua Toyota Hilux turut disita, menjadikan jumlah keseluruhan rampasan mencecah RM1.23 juta.

Beliau berkata, dadah dirampas itu boleh menampung lebih 100,000 penagih dan siasatan awal mendapati ia dibawa ke Sabah menggunakan laluan udara sebelum diseludup ke negara jiran.

Menurutnya, siasatan lanjut sedang dijalankan bagi mengenal pasti rangkaian pengedaran dadah terbabit dalam sindiket itu.

Katanya, ujian saringan air kencing suspek tiada rekod jenayah lampau itu positif methamphetamine dan amphetamine dan dia direman untuk disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.