Naik taraf 191 PKD sebagai PPV, percepat proses vaksinasi luar bandar, kata menteri

Naik taraf 191 PKD sebagai PPV, percepat proses vaksinasi luar bandar, kata menteri

Lokasi PKD strategik kerana terletak berhampiran kediaman masyarakat luar bandar dan dilengkapi kemudahan internet berkelajuan tinggi.

Naik taraf PKD itu mampu mempercepatkan proses vaksinasi kepada masyarakat luar bandar, pedalaman dan Orang Asli, kata Menteri Pembangunan Luar Bandar, Dr Abdul Latiff Ahmad.
PUTRAJAYA:
Sebanyak 191 Pusat Komuniti Desa (PKD) di seluruh negara bakal dinaik taraf sebagai pusat pemberian vaksin (PPV) sementara bagi mempercepat proses vaksinasi kepada lebih 1.7 juta penduduk luar bandar.

Berikutan itu, Kementerian Pembangunan Luar Bandar (KPLB) sedang mengadakan perbincangan dengan Kementerian Kesihatan dan Badan Bertindak Imunisasi Covid-19 (CITF) bagi menaik taraf semua 191 PKD sebagai PPV sementara, dalam masa terdekat.

Menterinya, Dr Abd Latiff Ahmad berkata, KPLB percaya langkah berkenaan mampu mempercepatkan proses vaksinasi kepada masyarakat luar bandar, pedalaman dan Orang Asli kerana kebanyakan PKD terletak di lokasi berhampiran kediaman mereka.

Beliau berkata, KPLB sudah pun mengaktifkan PKD sebagai pusat daftar vaksin sejak 20 Mei lalu dan sehingga kini sudah berjaya mendaftarkan lebih 5,000 penduduk luar bandar selaku penerima vaksin Covid-19.

“Kita ada 191 buah PKD dan bersedia ke arah untuk menjadikan PKD sebagai PPV. Mungkin KKM dan CITF dapat mempertimbangkan cadangan kita kerana lokasi PKD terletak berhampiran masyarakat dan di kawasan pedalaman. Tenaga kerja KPLB bersedia digerakkan untuk usaha ini dan perlu dibantu oleh KKM dan CITF.

“Ini adalah satu inisiatif dalam mengurangkan hampir 53 ribu penerima vaksin yang tidak hadir ke PPV. Kita optimis isu ketidakhadiran ke PPV dapat diselesaikan dengan membawa vaksin kepada masyarakat.

“Kita bersedia turun padang. Seluruh kerajaan akan menjayakan agenda nasional ini,” katanya dalam rancangan bual bicara bersama Agenda Awani yang disiarkan secara langsung menerusi Facebooknya.

Mengulas lanjut, Abd Latiff berkata KPLB juga akan mempertingkatkan sasaran untuk mendaftar kira-kira 30 peratus atau 2.319 juta daripada 7.73 juta masyarakat luar bandar sebagai penerima vaksin Covid-19 sekaligus membantu negara mencapai ‘imuniti kelompok’ dalam masa terdekat.

Dalam pada itu, beliau berkata KPLB telah menyahut agenda kerajaan untuk membantu usahawan dan mereka yang terjejas terutama golongan B40 dengan mencadangkan beberapa bantuan dan insentif bertujuan membantu mereka meneruskan kelangsungan hidup serta meningkatkan pendapatan.

“Sebanyak RM 231,601,878 telah diperuntukan oleh semua agensi bawah KPLB untuk membantu golongan yang terjejas sepanjang ‘total lockdown’ ini yang bakal memanfaatkan sejumlah 831,008 usahawan, penyewa dan peminjam.

“KPLB juga akan mewujudkan pangkalan data untuk kita rujuk senarai penerima yang layak supaya tiada yang tercicir. Isu penyelarasan data ini telah dibincangkan semasa Majlis Perlindungan Sosial Malaysia (MySPC) baru-baru ini di mana satu pangkalan data berpusat bagi menyelaras data penerima bantuan di Malaysia akan dibangunkan,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.