
Ketua Polis Daerah Hilir Perak Ahmad Adnan Basri berkata, wanita berusia 51 tahun itu dihubungi suspek dengan menggunakan nombor telefon IPK Sabah (088-454222) dan dimaklumkan bahawa kononnya dia terlibat dengan aktiviti pengubahan wang haram.
“Pada 4 Jun, semasa pengadu berada di tempat kerja, dia menerima panggilan telefon daripada suspek dan kononnya sekiranya mangsa ingin menyelesaikan masalah itu, beliau perlu membuat pembayaran terlebih dahulu,” katanya.
Beliau berkata, dalam tempoh dari 4 hingga 6 Jun, pengadu memindahkan RM65,000 wang simpanannya dan RM14,600 yang dipinjam daripada empat rakannya dalam lapan transaksi ke nombor akaun yang diberikan suspek melalui WhatsApp.
Adnan berkata, setelah pengadu memindahkan kesemua wang yang diminta oleh suspek, dia mendapati suspek menghilangkan diri dan nombor telefonnya tidak lagi dapat dihubungi.
“Hasil semakan mendapati lokasi panggilan telefon dan Whatsapp yang dibuat oleh suspek adalah dari Miri, Sarawak,” katanya.
Pihak polis kini sedang giat memburu suspek dan kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan, kata Adnan.