JPV: Lebih 81,000 lembu bergejala LSD disuntik

JPV: Lebih 81,000 lembu bergejala LSD disuntik

Semua JPV negeri sudah diarah mengaktifkan program pengawasan dan pemantauan bagi mengesan serta mengawal, seterusnya bertindak melakukan pencegahan penularan LSD.

JPV juga akan mengetatkan lagi syarat mengimport lembu hidup bagi mengelak haiwan yang berpenyakit dibawa masuk ke negara ini.
PETALING JAYA:
Sebanyak 81,252 lembu di 9,108 ladang seluruh negara yang mengalami gejala LSD sudah mendapat suntikan yang diberikan Jabatan Perkhidmatan Veterinar (JPV), kata ketua pengarahnya, Dr Norlizan Mohd Noor.

Beliau berkata, semua JPV negeri sudah diarah mengaktifkan program pengawasan dan pemantauan bagi mengesan serta mengawal, seterusnya bertindak melakukan pencegahan penularan LSD pada ternakan lembu, terutama di kawasan berisiko tinggi di seluruh negara.

Katanya, selain pencegahan penularan LSD membabitkan lembu import, JPV juga akan mengetatkan lagi syarat mengimport lembu hidup bagi mengelak haiwan yang berpenyakit masuk ke negara ini.

“Kita akan bekerjasama dengan Jabatan Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia (MAQIS) dalam memperkemaskan lagi kawalan di semua pintu masuk negara, malah tindakan tegas akan dikenakan terhadap konsainmen lembu import yang menunjukkan gejala penyakit LSD di stesen kuarantin,” katanya menurut laporan Berita Harian.

Norlizan berkata, JPV turut memohon kerjasama pemain industri, termasuk pengimport, peraih dan penternak lembu supaya segera menghubungi JPV berdekatan jika mengesyaki ternakan lembu dalam jagaan atau kandang mereka menunjukkan gejala penyakit LSD.

Tambah beliau, bagi pengesahan penyakit, satu proses persampelan akan dilakukan segera sebelum lembu yang dijangkiti LSD diasingkan dan dilupuskan menerusi penyembelihan di rumah sembelih jabatan atau rumah sembelih swasta yang dilesenkan.

Kata beliau, LSD yang menjangkiti ternakan adalah disebabkan virus Poxviridae dan boleh tersebar pada ternakan lembu melalui gigitan vektor serangga seperti nyamuk, selain boleh berjangkit melalui rembesan air liur dan hidung ternakan yang dijangkiti wabak berkenaan.

“Tanda klinikal pada ternakan lembu terjangkit LSD ialah nodular pada kulit di sebahagian atau keseluruhan badan haiwan terbabit dan sehingga kini tiada rawatan khusus untuk penyakit berkenaan,” tambah beliau.

Katanya, penyakit LSD tidak zoonotik, iaitu tidak menjangkiti manusia dan dakwaan kononnya ada individu mengalami gejala di bawah mata yang tular di media sosial disebabkan jangkitan LSD, adalah palsu.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.