PGA gagalkan cubaan seludup 36,000kg beras putih dari Thailand

PGA gagalkan cubaan seludup 36,000kg beras putih dari Thailand

Dua individu ditahan dengan keseluruhan rampasan dianggarkan bernilai RM144,000.

PGA menemukan 36,000kg beras putih, dipercayai diseludup dari Thailand, yang sedang dipunggah ke dalam treler di Tanah Merah, Kelantan, pada Rabu. (Gambar PGA)
PETALING JAYA:
Pasukan Gerakan Am (PGA) Batalion 9 menggagalkan cubaan menyeludup 36,000kg beras putih di Tanah Merah pada Rabu.

Komander Briged Tenggara PGA Nik Ros Azhan Nik Ab Hamid berkata, ketika rondaan Op Taring Wawasan, sepasukan anggota mengesan beberapa lelaki sedang memunggah guni ke dalam sebuah treler di Kampung Lawang, Batu Gajah.

Beliau berkata, pemandu dan penumpang treler itu, masing-masing warga tempatan berusia 53 tahun dan 19 tahun, berjaya ditahan, namun suspek lain berjaya melarikan diri ke kawasan semak.

“Hasil pemeriksaan menemukan 36,000kg beras putih di belakang sebuah treler dan disyaki diseludup dari Thailand untuk dijual ke pasaran tempatan,” katanya dalam kenyataan, lapor Bernama.

Tambahnya, keseluruhan rampasan dianggarkan bernilai RM144,000 dan telah diserahkan kepada Kawal Selia Padi dan Beras Kelantan untuk tindakan selanjutnya.

Kes disiasat mengikut Seksyen 20 Akta Kawal Selia Padi dan Beras 1994.

Sementara itu, Nik Ros Azhan berkata, Batalion 9 PGA turut menumpaskan kegiatan penyeludupan 11 ekor lembu selepas menahan sebuah lori di Kampung Gelong Pasir, Tumpat pada hari sama.

Katanya, pemandu gagal menunjukkan sebarang dokumen yang sah berkaitan pemindahan lembu tersebut untuk rujukan Jabatan Veterinar.

“Lembu berkenaan disyaki diseludup masuk dari Thailand dan pemandu lelaki warga tempatan berumur 60 tahun dipercayai menjadi penghantar lembu untuk pasaran tempatan turut ditahan.

“Anggaran nilai rampasan keseluruhan RM113,000 termasuk lori dan rampasan diserahkan kepada Jabatan Veterinar Kelantan untuk tindakan selanjutnya,” katanya.

Kes disiasat di bawah Seksyen 36(1) Akta Binatang 1953.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.