
Ketua Polis Bera, Zulkiflee Nazir, berkata mangsa Nur Adriana Amira Mohamad Norismail disahkan meninggal dunia ketika menerima rawatan di Klinik Kesihatan Bandar Bera 32 akibat pelbagai kecederaan termasuk di bahagian kepala.
Katanya, siasatan awal mendapati kemalangan berlaku kira-kira 9.40 malam ketika keluarga itu dalam perjalanan dari arah Kepayang menuju ke Kerayong.
“Ketika tiba di lokasi kejadian, sekumpulan lembu keluar dari arah kiri ke kanan jalan menyebabkan pemandu dipercayai hilang kawalan lalu melanggar haiwan tersebut sebelum terbabas ke bahu jalan,” katanya dalam kenyataan.
Beliau berkata, ibu mangsa berusia 21 tahun yang duduk di bahagian penumpang hadapan dan memangku bayi itu mengalami kecederaan di kepala, manakala pemandu berusia 22 tahun tidak cedera.
Menurutnya, mayat mangsa dibawa ke Unit Forensik Hospital Bera untuk bedah siasat dan kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.