PAS sayang haiwan?

PAS sayang haiwan?

PAS sememangnya sayang haiwan. Lebih tepat PAS amat gemar menggunakan haiwan untuk menyampaikan mesej tertentu.

Mohsin Abdullah

Rasanya umum tahu beberapa pemimpin dan aktivis wanita sudah tampil mengecam kenyataan Ketua Penerangan Pemuda PAS Maran, Muhammad Salman Al Farisi, yang menggunakan perumpamaan ‘lembu betina’ dalam mengulas soal kepimpinan wanita. Mereka rata-rata menyifatkan kenyataan itu memperlekehkan peranan wanita sebagai pemimpin.

Mas Ermieyati Samsudin, orang kuat Bersatu yang menyandang jawatan ketua Wanita Perikatan Nasional, berpendapat kenyataan Salman adalah pendapat peribadi, “dan ia tidak mempamerkan pendirian atau pandangan pimpinan PAS atau PAS sendiri.”

Beliau bagaimanapun akui kenyataan itu boleh dianggap tidak wajar, dan “saya tak nafikan kenyataan itu boleh dilihat seksis”, kata beliau seperti dilapor Malaysiakini dua hari lalu.

Namun Timbalan Presiden PAS Tuan Ibrahim Tuan Man dipetik berkata, “saya tidak nampak apa yang seksisnya kenyataan tersebut. Ia satu analogi daripada perspektif dia (Salman) bukan merendahkan martabat wanita pun. Cuma mungkin ada pihak yang terasa.” Nyata Tuan Ibrahim mempertahankan Salman.

Kesimpulan kenyataan Salman menerusi hantaran media sosial baru-baru ini berdasarkan pemerhatian dalam mengurus ternakan, iaitu lembu betina sering memimpin kumpulan ternakan tersebut — termasuk menentukan lokasi meragut, masa berehat dan waktu pulang — manakala lembu jantan hanya berperanan menjaga keselamatan kawanan.

Menurut Tuan Ibrahim, “dalam sejarah penulisan Islam terdapat karya seperti ‘Kalilah wa Dimnah’ yang sarat dengan perumpamaan dan kisah haiwan bagi menyampaikan pengajaran dan nilai moral.”

Meskipun saya tidak pernah baca karya itu, saya kira sang haiwan tidak dihina — apa lagi manusia — dalam penulisan orang Islam untuk menyampaikan pengajaran.

Dalam penulisan Melayu pun ada kisah haiwan untuk menyampaikan mesej contohnya kisah sang kancil, tetapi tiada siapa yang dihina atau terasa dihina.

Pada hemat saya, PAS sememangnya sayang haiwan. Lebih tepat PAS amat gemar menggunakan haiwan untuk menyampaikan mesej tertentu malah untuk menyerang musuh politiknya.

Tentu kita belum lupa bahawa baru-baru ini Ketua Penerangan PAS Ahmad Fadhli Shaari memuat naik karikatur seekor kambing dan seekor biri-biri berebut sebiji pisang, sambil disaksikan seekor monyet.

Kapsyen yang mengiringi karikatur itu berbunyi: “kambing dan biri-biri seeloknya tidak perlu kepada monyet untuk menjadi orang tengah dalam kes berebut pisang”. Hantaran itu disertakan tangkap layar laporan berita mengenai peranan Malaysia (baca: PMX) mengusahakan gencatan senjata antara Thailand dan Kemboja yang ketika itu terbabit dalam pertempuran bersenjata.

Mesej Fadhli amat jelas dan tidak perlu diulang, cuma ingin saya ingatkan bahawa si ketua penerangan PAS itu enggan memohon maaf meskipun dibidas pelbagai pihak.

Presiden PAS Hadi Awang juga gemar menggunakan perumpamaan haiwan untuk membidas musuh politik partinya. Banyak kali beliau lakukan dan banyak haiwan jadi modal. Yang saya masih ingat ialah pada Julai 2021, ketika PAS dalam kerajaan Perikatan Nasional yang perdana menterinya Muhyiddin Yassin. Menerusi kolum Minda Presiden yang turut dimuatnaik di Facebook, Hadi menyerang pembangkang dan membandingkan pengkritik kerajaan PN dengan kera dan tupai.

Berbalik kepada hantaran media sosial yang dibuat Salman. Selain rumusan tadi saya petik hantarannya di Facebook secara terperinci. Begini kata beliau:

“Sebab itulah kalau boleh kita jangan jadi seperti lembu yang mengangkat ‘betina’ sebagai ketua. Lelaki sepatutnya menjadi ketua dan seiringan dengan ayat Al-Quran dalam surah An-Nisa ayat 34.

“Bila lembu betina diangkat ketua, dia menentukan segalanya, yang jantan-jantan sekitar lembu betina ini hanya tahu meragut hasil. Paling teruk pun lembu jantan ini diminta menanduk musuh. Kesianlah jika kehidupan kita itu disamakan seperti kehidupan lembu.”

Mesej atau isunya, pada hemat saya, ialah Salman tidak mahu wanita jadi pemimpin utama sesuatu pertubuhan, pergerakan, atau parti (PAS?). Bagi beliau, lelaki mesti jadi pemimpin. Ertinya pertubuhan, pergerakan, atau parti (saya tanya sekali lagi: PAS?) mesti dipimpin lelaki.

Ketua Wanita PN menyifatkan kenyataan Salman sebagai terpencil dan seperti dikatakan tadi, “tidak melambangkan sikap keseluruhan kepimpinan PAS terutama dalam soal penglibatan wanita dalam arena politik.”

Memang wanita boleh membabitkan diri dalam politik yakni dalam PAS tetapi jadi pemimpin bagaimana, selain mengetuai Dewan Muslimat?

Bagi saya bukan Muhammad Salman Al Farisi sahaja dalam PAS yang berpegang pada pendirian: hanya lelaki wajib memimpin, wanita tak boleh jadi pemimpin.

Saya percaya, beliau bukan berseorangan.

 

Artikel ini adalah pandangan penulis dan tidak semestinya mewakili FMT.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.