
Beliau berkata, pihaknya sedang mengambil tindakan susulan bagi membendung penularan penyakit itu kepada ternakan lain.
“Penternak yang menemui tanda-tanda penyakit ini pada ternakan mereka diminta segera melaporkannya kepada JPV Perak.
“Ternakan berpenyakit perlu diasingkan dan diberi rawatan sokongan atas nasihat jabatan,” katanya hari ini.
Shafri berkata, ternakan berpenyakit juga dilarang dipindahkan dari lokasi wabak atau disembelih tanpa merujuk JPV terlebih dahulu.
Katanya, kegagalan mematuhi arahan itu boleh didenda RM25,000 di bawah Seksyen 31(4)(a) Akta Binatang 1953 (Pindaan 2013).
Semalam, media melaporkan JPV mengesan penularan LSD yang menjangkiti ternakan lembu dan kerbau di Perak.
Exco Perladangan, Pertanian dan Industri Makanan negeri, Razman Zakaria dilaporkan berkata, sehingga kini, satu lokasi di Simpang Pulai melibatkan sebuah ladang ternakan lembu dikenal pasti.
Sementara itu, Shafri berkata, LSD hanya menjangkiti ternakan lembu dan kerbau, dengan penyakit itu sudah merebak ke beberapa negara Asia Tenggara, termasuk Vietnam, Myanmar dan Thailand.
Katanya, di Malaysia, ia membabitkan ternakan yang dibawa masuk dari Thailand.
Beliau berkata, lembu dan kerbau yang berpenyakit boleh menjangkiti ternakan lain melalui vektor yang menghisap darah haiwan seperti kutu, nyamuk dan lalat.
“Penyakit ini boleh membawa kerugian kepada penternak kerana ternakan yang berpenyakit akan menjadi kurus, pengeluaran susu merosot dan boleh menyebabkan kematian.
“Kajian mendapati ada kes terpencil melibatkan penternak yang tidak menjaga kebersihan diri selepas mengendalikan ternakan mereka yang berpenyakit, tetapi kes seumpama ini sangat jarang berlaku.”